Khamis, 4 November 2010

Banjir tidak jejas proses SPM, 21 sekolah di Kedah ditutup

ALOR SETAR 3 Nov. - Banjir yang melanda negeri ini tidak akan menjejaskan proses peperiksaan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dijadual bermula pada 23 November ini.

Penolong Pengarah Kanan Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Zaini Rafie berkata, meskipun peperiksaan tersebut akan dimulakan kira-kira tiga minggu lagi, namun pihaknya telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, berdasarkan kejadian banjir yang berlaku pada masa ini, jabatan itu mengambil langkah awal dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam mengenai langkah menangani masalah yang mungkin timbul.

"Kami telah menyediakan alternatif-alternatif tertentu seperti akan menempatkan calon yang terlibat dengan banjir di pusat peperiksaan masing-masing.

"Kita juga telah mengenal pasti langkah-langkah yang perlu bagi menguruskan masalah jika sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan terlibat dalam peperiksaan berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zaini memberitahu, sehingga pukul 1 petang ini, sebanyak 21 buah sekolah di tiga daerah di negeri ini ditutup akibat banjir.

Katanya, ia melibatkan 13 buah sekolah di Daerah Kubang Pasu, tujuh (Kota Setar) dan satu di Padang Terap manakala 26 buah sekolah pula dijadikan pusat penempatan.

Utusan Malaysia Online: 4 November 2010

Tiada ulasan: