Khamis, 4 November 2010

Murid maut dihempap tiang gol

2010/11/04

TIANG gol yang roboh menghempap Mohd Khairi ketika bermain di padang Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Isnin lalu.
TIANG gol yang roboh menghempap Mohd Khairi ketika bermain di padang Sekolah Kebangsaan Kepala Batas, Isnin lalu.
Mangsa cedera parah akibat bergayut di palang Isnin lalu

KEPALA BATAS: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Kepala Batas di sini, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam akibat cedera parah selepas dihempap tiang gol di padang sekolahnya, Isnin lalu.

Mohd Khairi Iskandar Onzek, 8, yang mengalami pendarahan hidung dan telinga serta kecederaan di bahagian dalam badan selepas dadanya dihempap tiang gol, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi.
Ketika kejadian jam 12 tengah hari Isnin lalu, murid itu yang bersekolah sesi petang, dikatakan bermain dengan bergayut di tiang gol di padang sekolah.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan terjatuh sebelum tiang gol berkenaan menghempap dadanya sehingga menyebabkan berlaku pendarahan hidung dan telinga, selain kecederaan di bahagian dalam badan.

Dia dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) oleh gurunya untuk rawatan, sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut pada hari sama apabila keadaannya semakin serius. Mangsa meninggal dunia pagi semalam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Shahizan Mohd Said, 29, ketika ditemui di Taman Sri Desa di sini, berkata anak saudaranya kehilangan banyak darah selepas kejadian itu sehingga menyebabkan dia dihantar ke HPP.
“Saya dimaklumkan oleh doktor bahawa Mohd Khairi bukan saja cedera, malah saraf otaknya turut rosak dan itu antara sebab dia meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Mohd Khairi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pajak Song petang semalam.

Berita Harian Online: 4 November 2010

Tiada ulasan: