Isnin, 1 November 2010

Mana laporan kes dera SMK Bunut Susu?


DR. WEE KA SIONG


KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi dengan laporan kes dera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan?

Walaupun kejadian kes dera membabitkan dua pelajar sekolah tersebut iaitu Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, berlaku pada 12 Oktober lalu tetapi sehingga semalam, laporan mengenai kes itu masih belum diterima.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya hairan kenapa laporan kes penderaan di SMK Bunut Susu itu lewat diterima oleh pihaknya.

Sehubungan itu, Ka Siong mahu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas menghantar laporan mengenai kejadian itu seberapa segera kerana ia melibatkan reputasi kementerian dan keselamatan pelajar.

“Saya harap laporan ini dapat dihantar secepat mungkin untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan melampau seorang guru yang didakwa menggunakan seterika panas bagi mengejutkan pelajar-pelajar asrama di SMK Bunut Susu di Pasir Mas supaya menunaikan solat Subuh pada 12 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, dua adik-beradik berkenaan dikatakan melecur masing-masing pada tapak kaki dan lengan kiri selepas guru terbabit yang juga warden asrama sekolah itu menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka.

Kosmo Online: 1 November 2010

Tiada ulasan: