Jumaat, 5 November 2010

Alimuddin bersara setelah 34 tahun berkhidmat



Alimuddin Mohd. Dom bersama sebahagian pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Putrajaya, semalam, selepas mengetip kad perakam waktu tepat pukul 4.30 petang sempena persaraan beliau, semalam.


PUTRAJAYA 4 Nov. - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, 58, yang bersara wajib hari ini setelah berkhidmat selama 34 tahun diraikan oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Pelajaran dalam suasana penuh terharu.

Beliau mengetip keluar kad perakam waktu bagi kali terakhir pada pukul 4.30 petang ini dan kemudian bersalaman dengan rakan-rakan sekerja dan kakitangan kementerian serta para pelajar sekolah.

Alimuddin yang memegang jawatan tersebut sejak Ogos 2007 menyifatkan perkhidmatan dalam bidang pendidikan begitu mencabar dan mempunyai tanggungjawab besar apatah lagi banyak dasar baru diperkenalkan semasa tempoh beliau menerajui jabatan tersebut.

"Alhamdulillah, saya telah mendapat sokongan kuat daripada para pegawai dan kakitangan kementerian sepanjang tempoh berkhidmat bagi memastikan segala usaha melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan dapat dilakukan.

"Dasar-dasar baru itu perlu dilaksanakan seiring dengan perubahan dunia di mana negara-negara luar sedang mengubah sistem pendidikan mereka," katanya ketika berucap pada majlis perpisahan bersama pegawai dan kakitangan kementerian di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Mazlilah Ahmad Mansor; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Rosli Mohamed, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Badarudin Abd. Rahaman dan timbalan-timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Norezan Bapoo Hashim; Dr. Khair Mohamad Yusof dan Datuk Asariah Mior Shaharuddin.

Alimuddin yang sebelum ini menjawat Penolong Ketua Pengarah Pelajaran menggantikan Datuk Dr. Ahmad Sipon yang bersara wajib pada Julai 2007.

Kepimpinan diterajui oleh Alimuddin juga menghadapi saat getir dengan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang penuh kontroversi sehingga akhirnya dimansuhkan oleh kerajaan pada tahun lalu.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan perkhidmatan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak pada 1976 dan pernah menjadi Pengetua Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Alimuddin yang merupakan anak kelahiran Ayer Tawar, Perak berkata, sistem pelajaran di negara ini sudah berada di landasan yang betul dan segala pembaharuan dasar yang diperkenalkan kerajaan memberikan kebaikan kepada anak bangsa.

Katanya, ini termasuk mengehadkan pengambilan 10 mata pelajaran bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan para pelajar tidak terbeban dengan pendidikan yang terlampau bersifat akademik sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum yang lain.

"Dasar Satu Murid Satu Sukan juga diperkenalkan untuk memastikan budaya bersukan dipupuk dari alam persekolahan untuk menghasilkan pelajar yang cergas dan cerdas," katanya.

Alimuddin yang terkenal dengan sifat peramah dan kaya dengan senyuman itu berkata, selepas ini beliau mahu berehat seketika bagi menyesuaikan diri dengan alam persaraan.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Bhd. (YGMB) berazam meneruskan baktinya menerusi kegiatan dalam yayasan tersebut terutama dalam membantu warga pendidik.

"Melalui dana RM10 juta yang diumumkan oleh kerajaan kepada YGMB baru-baru ini, kita akan pastikan ia digunakan sepenuhnya.

"Kita akan pastikan warga pendidik akan menikmati sumbangan seperti khairat, bantuan anak-anak, sakit atau kemalangan selain memberikan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan dana," katanya.

Utusan Malaysia Online: 5 November 2010

3 ulasan:

iR berkata...

Terima kasih,syabas dan selamat bersara buat Y.Bhg Tan Sri KPPM. Semoga sihat walafiat dan berbahagia di samping keluarga.

MORRIS berkata...

"SELAMAT BERSARA KEPADA YBHG.TAN SRI ALIMUDDIN. JASA TAN SRI TETAP DIKENANG"

Tanpa Nama berkata...

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, selamat datang ke dunia pesara d-engan doa sihat sejahtera.Daripada: tiubbocor.blogspot.com