|
|
IPOH 16 Nov. - Bermula dengan perniagaan membuat kek secara kecil-kecilan di rumah, seorang guru, Norhasimah Abdul Karim membuka kedai Norzan Bakeri dan Kek di kawasan Industri Mara di Tambun, Ulu Kinta dekat sini sejak Disember 2005.
Norhasimah, 50, berkata, dia mula berkecimpung dalam pembuatan kek dan biskut di rumah sejak 1989.
Katanya, dia bermula dengan membuat kek dan biskut yang ditempah oleh rakan kerana minatnya mendalam dalam perusahaan itu secara kecil-kecil.
"Minat itu bertambah apabila saya mengikuti kursus membuat roti selama dua bulan di sebuah kilang roti di Batu Caves, Selangor pada 2003," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, selepas tamat mengikuti kursus tersebut, dia membuka kedai di Bandar Baru di sini dengan membuat roti dan kek pada Jun 2003 dengan dibantu tiga pekerja.
"Saya melaburkan RM50,000 sebagai modal awal untuk membeli sebuah mesin pembancuh tepung untuk membuat kek," katanya yang dibantu oleh suaminya, Azizan Shaari, 51.
Ibu kepada empat anak berusia 14 hingga 23 tahun berkata, apabila perniagaan makin berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan, dia berpindah ke Tambun dengan membeli beberapa buah lagi mesin.
Bermula dari situ, katanya, dia teruskan dan tingkatkan usaha untuk menjadi usahawan berjaya satu hari nanti dan usaha gigihnya itu amat berbaloi.
Katanya, bermula dengan membuat piza di sini, dia melebarkan perusahaan itu dengan mengeluarkan pelbagai produk seperti roti arab, roti mini arab, roti rangup, roti john, roti kelapa, roti kacang merah, roti sandwich, roti kaya, roti sosej, donut, roti bun dan pelbagai jenis kek.
Norhasimah berkata, roti berkenaan dijual dengan harga di antara 50 sen hingga RM4.50 setiap satu.
Sementara itu, pelbagai jenis kek pula dijual antara 80 sen hingga RM8 setiap satu.
Selain itu, dia juga menghasilkan kek perkahwinan dengan menawarkan pakej kek span dua tingkat berharga RM116 bagi berat tiga kilogram dan RM170 bagi berat 4.5 kilogram.
"Kek tiga tingkat pula dijual dengan harga RM160 bagi berat 4.5 kilogram dan RM190 bagi berat 5.5 kilogram," katanya.
Menurut beliau, beberapa jenis lagi kek turut dihasilkan bagi memenuhi permintaan orang ramai.
"Perniagaannya itu mula terkenal setelah ia mendapat sambutan di kebanyakan pasar tani di negeri ini setelah menyertai promosi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang banyak membantu," katanya.
Norhasimah berkata, permintaan terhadap roti arab yang dihasilkan paling tinggi dengan purata jualan mencecah RM50,000 sebulan.
"Produk yang dihasilkan di sini terjamin kerana ia adalah halal," katanya yang menggaji 13 orang pekerja.
Beliau berkata, produk keluaran syarikatnya itu kini sudah dipasarkan di Johor Baharu dan Melaka, selain di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan.
Katanya, syarikat kini membuka empat cawangan di Medan Gopeng, Terminal Makanan Negara (Teman), Chemor dan Klebang Jaya di sini.
Dia sedang memohon untuk memasarkan produknya di beberapa pasar raya besar di sini dalam usaha meningkatkan pemasaran kepada orang ramai.
Selain itu, pihaknya juga mengadakan kursus membuat kek dan mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 019-4476906/ 012-5035023 atau pejabat di talian 05-5332116.Utusan Malaysia Online: 17 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan