Selasa, 16 November 2010

SPM: Bilik peperiksaan alternatif disediakan

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Sekolah-sekolah yang berisiko tinggi dilanda banjir telah diarahkan menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat untuk pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 23 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud (gambar) berkata, arahan penyediaan bilik peperiksaan alternatif di bawah 'Ops Payung' itu dibuat melalui Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil. 6/2008 yang diedarkan kepada semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri.

"Kementerian Pelajaran akan bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan calon-calon SPM dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat.

"Segala bentuk bantuan termasuk tempat tinggal, makanan dan keperluan asas lain juga akan disalurkan segera kepada calon yang diancam banjir," katanya melalui kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Mengikut maklumat terkini kementerian, seramai 467,970 calon akan mengambil peperiksaan SPM di 3,594 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 23 November hingga 20 Disember ini.

Daripada jumlah tersebut, 410,083 calon berdaftar di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan manakala 7,216 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan sekolah Perantis Tentera sementara 8,127 lagi calon di Sekolah Menengah Agama Negeri.

Baki 11,248 calon berdaftar di sekolah swasta dan Sekolah Menengah Agama Rakyat sementara 31,296 orang lagi merupakan calon persendirian.

Menurut Abdul Ghafar, bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan mengikut jadual, pihak kementerian juga melantik 26,142 orang petugas peperiksaan dan 22,183 orang pemeriksa skrip jawapan calon.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua calon supaya bersedia dan membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau melewatkan mereka ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

"Calon-calon SPM diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan.

"Pastikan juga anda membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," ujarnya.

Beliau menjelaskan, Bilik Gerakan SPM akan mula beroperasi di Lembaga Peperiksaan dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang di antara tarikh 23 November hingga 20 Disember ini.

Calon-calon SPM boleh mendapatkan maklumat semasa dari bilik gerakan itu menerusi talian 0388893551, 03-88893582, 03-88893601 atau 03-88893520.


Utusan Malaysia Online: 16 November 2010

Tiada ulasan: