Rabu, 3 November 2010

'Pengetua jangan hanya jadi pengurus rutin'



Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang kali ke-3 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, semalam. Turut hadir Pemangku Yang Dipertua Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan, Morazuki Hashim (kanan) dan Noor Rezan Bapoo Hashim.


GENTING HIGHLANDS 2 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pengetua supaya berubah daripada menjadi pengurus rutin kepada pengurus pemimpin bagi memastikan tadbir urus sekolah menjadi lebih cekap.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengetua yang mempunyai sifat sebagai pengurus pemimpin mahir dalam menjalankan tugas terutama membabitkan dimensi kepimpinan pengajaran dalam mencorakkan iklim dan budaya pengajaran dan pembelajaran yang terbaik di sekolah.

"Dalam dimensi ini, pengetua berperanan memberi kepimpinan, galakan dan sokongan kepada guru dan murid di samping mewujudkan keadaan persekitaran yang kondusif, sihat serta memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Selain melibatkan guru dalam pelbagai aktiviti pendidikan, pengetua hendaklah menyampaikan maklumat yang cukup dan tepat, menerima pandangan secara terbuka dan menghargai sumbangan guru serta kakitangan di bawah pimpinannya," katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Kali Ketiga Tahun 2010 di Institut Aminuddin Baki di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Persidangan tiga hari bertemakan Kepimpinan Berimpak Tinggi Dalam Merealisasikan Gagasan 1Malaysia anjuran Majlis Pengetua Cemerlang Kebangsaan (MPCK) dihadiri 300 pengetua cemerlang dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin berharap pengetua tidak melupakan satu lagi dimensi iaitu pentadbiran dan pengurusan kerana ia juga amat penting dalam memastikan proses pembangunan modal insan dapat dicapai.

"Dimensi pentadbiran dan pengurusan menekankan budaya kerja yang cemerlang dan ia juga menganjurkan kepada pengetua supaya memberi keutamaan kepada budaya kreatif dan inovatif, berintegriti tinggi, semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi di sekolah," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin juga menggesa para pengetua memberi tumpuan terhadap kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran dan sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan.

"Untuk mencapai matlamat ini pengetua perlu mempunyai kecenderungan membawa perubahan sosial yang membina, mengenal pasti kelemahan kontroversi dan konflik seterusnya mengambil pendekatan strategik bagi menangani isu dan permasalahan yang wujud.

"Proses memperbaiki potensi pelajar juga perlu dilakukan sepanjang masa di sekolah. Dalam konteks ini, aspek pengajaran dan pembelajaran serta pemantauan menjadi agenda utama bagi setiap pimpinan sekolah.

"Jika tidak diberi perhatian bersungguh-sungguh terhadap aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, masalah keciciran akademik dan moral di kalangan pelajar tidak akan dapat diatasi dan secara tidak langsung boleh mencetuskan masalah sosial dalam masyarakat," katanya.

Tambah beliau, dalam menghadapi era globalisasi, pengetua juga perlu melakukan penyesuaian dalam pentadbiran mereka supaya selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat domestik dan global yang sentiasa berubah.

"Hal ini hanya dapat direalisasikan sekiranya suasana kerja yang kondusif diwujudkan, latihan yang bersesuaian diberikan, kebajikan guru dan urusan berkaitan dengan perkembangan kerjaya diberi perhatian, supaya kepuasan kerja dapat dicapai," katanya.

Utusan Malaysia Online: 3 November 2010

Tiada ulasan: