Isnin, 15 November 2010

JPN didakwa ugut guru bayar RM10

Oleh Syuhada Choo Abdullah

2010/11/15

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan beberapa Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mewajibkan guru menyumbang sejumlah wang yang didakwa dilakukan secara tidak telus dan mencetuskan banyak persoalan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata kesatuan menerima banyak aduan daripada ahli yang mendakwa mereka diwajibkan membayar antara RM5 dan RM10 setahun atas alasan menampung aktiviti membabitkan guru termasuk Majlis Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pelajaran dan persatuannya.

Beliau berkata, pelaksanaannya ada elemen berbaur ‘ugutan’ berikutan nama guru yang menyumbang dan tidak melakukan sumbangan disenaraikan mengikut kategori, sehingga menimbulkan perasaan bimbang serta takut dikenakan tindakan sekiranya ingkar membuat bayaran.
“Dalam konteks ini, guru mempertikaikan kutipan dibuat kerana majlis atau persatuan di bawah JPN terbabit bukan pertubuhan berdaftar, tiada sebarang resit dikeluarkan, malah corak perbelanjaan yang dibentang juga meragukan.

“Bagi sesetengah pihak, RM5 atau RM10 mungkin kecil, tetapi untuk guru yang ramai tanggungan ia membebankan.

“Malah, perkara ini adalah isu utama dibangkitkan pada perjumpaan NUTP dengan ahli di Melaka, hari ini (semalam) kerana ia membabitkan soal akauntabiliti dan integriti JPN.

“Kesatuan dimaklumkan dengan bayaran RM10 setahun yang diwajibkan, JPN Melaka boleh mengutip lebih RM100,000 setahun daripada kira-kira 11,000 guru di sekolah rendah dan menengah negeri itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, JPN Selangor pula dikatakan mengenakan bayaran mengikut gred jawatan dan gaji guru.

Justeru, NUTP berharap Kementerian Pelajaran akan meneliti, sekali gus menangani isu berkenaan yang semakin menjadi perhatian guru kerana ia membabitkan imej keseluruhan perkhidmatan pendidikan.

Dalam pada itu, Hashim meminta Kementerian Pelajaran mengumumkan segera keputusan hasil kajian mengenai beban tugas guru, terutama langkah penyelesaian yang akan diambil.

“Isu ini amat penting, lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun depan akan menyaksikan guru dibebankan dengan kerja penilaian berasaskan sekolah,” katanya.

Berita Harian Online: 15 November 2010

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya cadangkan KPPK(NUTP) membuat aduan kepada SPRM.Kutipan ini memang ada tetapi bagi saya bkan kutipan itu yang masalah yang menjadi masalah ialah cara penggunaannya. Wang RM10 itu bukan besar jumlahnya tetapi jika penggunaannya tidak telus SPRM patut ambil tindakan khususnya diperingkat negeri

Tanpa Nama berkata...

selangor PULA BUAT JOGHATON... SIAP KAD KUTIP DERMA PADA SEMUA GURU.

TAPI TAKPALAH.... AKU SUMBANG DUIT SENDIRI JE LAH ....MALAS NAK BISING-BISING...... DERMA IKHLAS

Tanpa Nama berkata...

BAYAR ASTRO, BIL HAND PHONE TAK BISING PUN. NAK BAYAR SETAHUN SEKALI UTK KEGIATAN GURU, BERKIRA BETUL CIKGU-CIKGU KITA.

BAGI YG KUTIP BAYARAN PULA, PROFESIONAL LAH SIKIT DLM MENGURUSKAN WANG KUTIPAN

Tanpa Nama berkata...

Kalau di sekolah, PIBG yang diletakkan tanggungjawab dalam urusan pungutan. Bila wang telah terkumpul, PIBG akan serahkan kepada sekolah. Jadi PIBG ni tempat laluan bagi menghalalkan cara sahaja. Pi Mai Pi Mai Tang Tu jugak.