Isnin, 1 November 2010

Kad Hari Guru

Oleh Nur Suraya Harnuni Mokhtar dan Samsudin Awang
bhnews@bharian.com.my
2010/11/01

SKTA Kuntan, MRSM Pekan dipilih terima hadiah Cerdik Publications

SEKOLAH Kebangsaan Tunku Azizah (SKTA), Kuantan dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang terpilih sebagai penerima hadiah khas pertandingan sempena Hari Guru lalu anjuran Cerdik Publications Sdn Bhd (Cerdik Publications) dan Berita Harian Sdn Bhd.

SKTA yang menghantar 450 penyertaan dipilih sebagai pemenang Peraduan Terima Kasih Cikgu yang disiarkan dalam akhbar sisipan Didik khusus bagi membolehkan murid sekolah rendah menzahirkan penghargaan mereka kepada guru dengan cara paling kreatif.
Manakala MRSM Tun Abdul Razak mengungguli kategori sekolah menghantar penyertaan terbanyak bagi Peraduan Guruku Berjiwa 1Malaysia bagi pelajar sekolah menengah yang disiarkan dalam sisipan Minda dan Skor.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua sekolah menerima hadiah bahan pembelajaran dalam kelas, bahan bacaan bersiri dan novel bernilai RM1,500 daripada Cerdik Publications.

Hadiah disampaikan Pengurus Promosi dan Pembangunan Jualan Wilayah, Cerdik Publication, Inder Singh kepada Guru Besar SKTA, Maznah Zainun Mahmud dan Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Mohd Yusoff Hassan, di Kuantan dan Pekan, baru-baru ini.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya sering menggalakkan pelajar menyertai aktiviti atau pertandingan berkonsep ilmiah atau yang mampu membantu perkembangan bakat selain daripada tumpuan pembelajaran di dalam kelas sahaja.
“Pembabitan dalam pertandingan seperti ini penting bagi mengimbangi pencapaian mereka dalam bidang akademik dan kemahiran insaniah melalui kemahiran berfikir serta penjanaan idea yang kreatif.

“Selain itu, peraduan bertemakan Hari Guru dapat memupuk rasa tanggungjawab dan hormat yang tinggi dalam diri pelajar terhadap golongan pendidik yang banyak berjasa, khususnya guru yang mendidik mereka di sekolah ini," katanya.

Manakala bagi Maznah, peraduan yang diadakan selama sebulan sempena sambutan Hari Guru lalu itu menarik minat pelajar tahun satu hingga tahun enam sekolahnya.

Katanya, peraduan itu memberi peluang murid mengenang jasa dan pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa sehingga menjadi manusia berguna, tanpa mengenal erti jemu.

Sementara itu, Inder berkata, peraduan yang sudah memasuki tahun keempat itu dianjurkan bertujuan menggalakkan pelajar melahirkan kasih sayang dan penghargaan terhadap jasa guru yang telah bersusah payah mendidik mereka selama ini.

“Menerusi peraduan ini, pelajar dilatih melahirkan rasa terima kasih kepada guru dengan coretan indah, ucapan puitis atau sajak, selain menggunakan kreativiti menghasilkan karya yang tinggi nilai seninya.

“Kebanyakan peserta menghantar penyertaan yang dihias dengan kreatif menggunakan bunga, daun, riben, album gambar dan rempah yang selalu digunakan dalam masakan seperti kulit kayu manis, bunga cengkih serta bunga lawang sebagai hiasan.

“Malah, terdapat peningkatan ketara pada bilangan sekolah yang mengumpul penyertaan sehingga berlaku saingan sengit bagi memilih sekolah dengan penyertaan terbanyak,” katanya yang bercadang menjadikan peraduan itu sebagai acara tahunan.

Peraduan yang diadakan selama sebulan pada Mei hingga Jun lalu itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 4,200 penyertaan diterima dari seluruh negara.

Berita Harian Online: 1 November 2010

Tiada ulasan: