Isnin, 1 November 2010

SK Langgar terima Anugerah Khas Perdana Menteri



MOHD. Fatmi Che Salleh menyampaikan replika cek RM10,000 kepada Zunaidah Mamat di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 31 Okt. - Kemunculan Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar sebagai juara bola sepak bawah 10 tahun, The Red Warriors 2010 melayakkan sekolah itu menerima Anugerah Khas Perdana Menteri sebanyak RM10,000 baru-baru ini.

Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Jabatan Pelajaran negeri mendedahkan 11 pemain sekolah itu kepada sukan bola sepak dari peringkat umur muda.

Kelayakan turut merangkumi penilaian terhadap lima anugerah bagi tahun lalu iaitu Anugerah Pra-Sekolah Lima Bintang, Juara Pengurusan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan dan Naib Johan Kitchen/Edible Garden Peringkat Kebangsaan.

Turut dinilai kejayaan sekolah yang sama muncul Johan Menulis Cereka Kategori Murid Bahasa Inggeris dan Pelantikan Pusat Latihan Gimnastik Kementerian Pelajaran.

Replika Cek Anugerah Khas Perdana Menteri tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh dalam satu majlis di sekolah itu.

Sementara itu, Guru Besar SK Langgar, Zunaidah Mamat semasa berucap di majlis itu berkata, selain anugerah khas, seramai 179 murid sekolah berkenaan juga terpilih menerima wang ihsan.

''Murid-murid yang datang daripada keluarga berpendapatan bawah RM1,500 sebulan menerima sumbangan sebanyak RM200 setiap seorang," katanya.

Tambahnya lagi, murid dari tahun satu hingga enam yang tidak mendapat bantuan daripada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) disenaraikan menerima bantuan berkenaan.

Melalui bantuan tersebut katanya, diharapkan ia membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa terbabit.


Utusan Malaysia Online: 1 November 2010

Tiada ulasan: