Sabtu, 13 November 2010

Ceria, sebak selubungi persaraan Cikgu Narimah


NARIMAH Mohd. Shahid memotong kek hari lahirnya yang ke-56 sempena hari persaraan beliau di SK LKTP Sening, Kota Tinggi, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 12 Nov. - Suasana sebak menyelubungi Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Sening di sini kelmarin apabila murid dan guru meraikan persaraan Guru Besar, Narimah Mohd. Shahid.

Lebih 150 warga sekolah itu berhimpun pada majlis persaraan Narimah, 56, yang turut dihadiri Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kota Tinggi, Fadzil Ishak dan beberapa guru besar di daerah ini.

Narimah bersara wajib daripada bidang pendidikan yang amat dicintainya itu selepas menabur bakti mendidik anak bangsa selama 37 tahun dan sebagai tanda penghargaan pelbagai aktiviti dianjurkan termasuk persembahan kebudayaan dan nasyid oleh murid-murid.

Ketika ditemui, Narimah terharu dengan sambutan yang diberikan oleh guru dan murid sekolah berkenaan kerana semua program itu dirancang tanpa pengetahuannya.

"Walaupun baru 11 bulan bertugas di sekolah ini, saya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua guru dan kakitangan sehingga segala aktiviti dapat dijalankan dengan lancar.

"Kerjasama erat juga membolehkan semua perancangan dilaksanakan dengan jayanya dalam usaha memajukan lagi sekolah ini sebagai gedung melahirkan lebih ramai murid berkualiti," katanya.

Narimah anak kelahiran Kampung Batu Mas, Pengerang memberitahu, beliau mula terlibat dalam profesion perguruan ketika menjadi guru di Sekolah Agama Arab Addin di Stulang Baru, Johor Bahru pada 1973 dan selepas itu menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Pengerang pada 1975 sebelum diserap sebagai guru terlatih.

Beliau mula menyandang jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) 1 pada 1981 hingga 1999 sebelum dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar Sekolah Kebangsaan LKTP Sening pada 22 November 2009.

Ibu kepada enam cahaya mata dan enam cucu itu memberitahu, kenangan yang tidak mungkin dilupakan pada 1970 ialah kejadian rentetan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 apabila beliau dilantik sebagai ketua membaca ikrar sempena pelancaran Rukun Negara di Padang Awam Sungai Rengit.

Ketika itu, penduduk Pengerang berhimpun di padang berkenaan untuk diberi kesedaran betapa pentingnya semangat bersatu-padu dan hidup dalam aman dan damai tanpa perasaan curiga antara kaum.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Zuwita Soloma Md. Kadar, 45, pula menyifatkan persaraan Narimah sebagai satu kehilangan bagi sekolah itu atas sumbangan besar beliau walaupun belum lama bertugas di situ.

"Pendekatan dan kegigihan beliau menyasarkan sekolah ini menjadi sekolah cemerlang amat dihargai dan sumbangannya melebihi apa yang diharapkan pihak sekolah, guru dan ibu bapa," katanya.

Sementara itu, murid tahun enam, Nurshuhadah Atikah Abdullah, 12, berkata, dia menjadikan guru berkenaan sebagai idola kerana berjaya menyuntik semangatnya untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

Utusan Malaysia Online: 13 November 2010

Tiada ulasan: