Khamis, 4 November 2010

Menara jam mercu tanda SMKSJ

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2010/11/04

PELAJAR dinasihatkan sentiasa menghormati guru serta ibu bapa kerana mereka sanggup mengetepikan kesenangan diri semata-mata ingin melihat anak-anak berjaya, kata Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman.

Katanya, ibu bapa pula ibarat sebatang lilin yang sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Kedua-dua golongan ini sanggup berkorban masa dan wang bagi memastikan anak-anak mendapat kemudahan belajar terbaik.

“Selain cemerlang dalam akademik, pelajar juga perlu mengimbangi dalam bidang kokurikulum kerana ia membantu melangkah ke peringkat pengajian tinggi.
"Kemahiran insaniah yang dipelajari di sekolah terutama dalam kegiatan kokurikulum membolehkan pelajar menjadi modal insan berguna, berpendirian serta sukar diganggu gugat,” kata di majlis sambutan Hari Anugerah Kokurikulum ke-14 Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut Jaya (SMKSJ) di dewan sekolah itu, baru-baru ini. Hadir sama, Pengetua SMKSJ, Muhamad Khailani Abdul Jalil dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSJ, Ahmad Burak.

Majlis itu bertujuan mendorong pelajar dan guru meningkatkan prestasi kokurikulum masing-masing selain memberi suntikan semangat mengharumkan nama sekolah. Pada majlis itu Mohd Ghazali turut merasmikan menara jam yang menjadi mercu tanda sekolah terbabit.

Menara setinggi 7.62 meter dengan kos pembinaan RM40,000 ini adalah hasil kerja pelajar Tingkatan Lima Kejuruteraan Teknologi dengan bimbingan seorang arkitek dan tajaan pelbagai pihak.

"Kerjasama erat antara PIBG dan sekolah banyak menjayakan program di sekolah ini termasuk pembinaan menara dengan konsep rekaan bercirikan Islam," katanya.

INFO: Mercu tanda SMKSJ menara jam setinggi 7.62 meter dibina oleh pelajar dan pihak sekolah denagn kos RM40,000 hasil tajaan pelbagai pihak dan dibimbing seorang arkitek. Menara berkenaan dibina dengan kerjasama PIBG sekolah berkonsepkan rekaan bercirikan Islam.

Berita Harian Online: 4 November 2010

Tiada ulasan: