|
|
PUTRAJAYA 10 Nov. - Malaysia terus menunjukkan keunggulannya dalam bidang sukan sekolah di peringkat antarabangsa apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Olimpiad Sukan Sekolah Rendah ASEAN (APSSO) di Jakarta, Indonesia minggu lalu.
Ini berikutan kecemerlangan kontinjen negara merangkul sembilan pingat emas, satu perak dan lima gangsa.
Kejayaan kontinjen Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) itu diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran pada satu majlis ringkas di pejabatnya di sini hari ini.
Hadir sama Penasihat Sukan Kementerian Pelajaran, Datuk Wira Mazlan Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Ketua Kontinjen MSSM, Ee Hong dari Bahagian Sukan kementerian berkenaan.
Bagi temasya edisi keempat APSSO itu, kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 26 orang atlet dan 10 orang pegawai berjaya membawa pulang satu pingat emas masing-masing menerusi acara bola sepak dan olahraga manakala badminton (tiga emas) dan catur (empat emas).
Acara olahraga turut menyumbangkan satu pingat perak dan satu gangsa manakala empat lagi gangsa diperoleh menerusi badminton perseorangan perempuan, catur perseorangan perempuan masing-masing bagi kategori standard dan rapid serta pingpong.
Kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 10 November itu turut disertai oleh kontinjen dari Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
APSSO yang mula dianjurkan pada 2007 merupakan inisiatif Indonesia dalam usaha menampilkan keupayaan murid-murid sekolah ASEAN dalam bidang sukan selain membina persahabatan yang kukuh di kalangan mereka.Utusan Malaysia Online: 11 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan