2010/11/07
ALOR SETAR: Kementerian Pelajaran sudah mempunyai pelan alternatif untuk memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak terjejas jika banjir buruk yang melanda kawasan Utara Semenanjung berterusan.Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementerian itu akan melihat keadaan terlebih dulu kerana masih ada kira-kira dua minggu lagi peperiksaan itu akan bermula."Kita sudah ada pelan alternatif jika banjir berterusan...kita lihat dulu bagaimana kerana masih ada dua minggu lagi peperiksaan itu diadakan," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Masalah banjir besar itu bukan saja menyebabkan pelajar menghadapi kesukaran untuk menduduki peperiksaan apabila ada jalan terpaksa ditutup akibat dinaiki air, malah banyak sekolah ditutup dan digunakan sebagai pusat penempatan sementara bangsa banjir.
Muhyiddin, bagaimanapun, enggan mengumumkan pelan alternatif berkenaan kerana ia akan dibuat mengikut keadaan selepas ini.
Akhbar Khamis lalu melaporkan Kementerian Pelajaran sudah mengambil langkah persediaan memastikan peperiksaan SPM dan STPM yang dijadualkan bermula 22 November ini tidak terjejas, jika banjir yang melanda beberapa negeri di Utara Semenanjung menjadi semakin buruk.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata, jika keadaan itu berlaku, calon peperiksaan itu akan ditempatkan di sekolah berdekatan.
Berita Harian Online: 7 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan