Khamis, 4 November 2010

Guru Sejarah kena kreatif mengajar

2010/11/04

LANGKAH kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu tindakan bijak. Namun, ada sedikit kebimbangan jika dasar diputuskan itu tidak dihayati sebaik-baiknya.

Seperti yang kita maklum, pendidikan di Malaysia adalah berorientasikan peperiksaan. Oleh itu, dibimbangi jika pelajar mempelajari subjek Sejarah hanya sekadar untuk lulus SPM.

Kebanyakan pelajar tidak meminati subjek ini kerana ia bersifat fakta dan pelajar mempelajarinya secara menghafal untuk skor cemerlang tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Dalam hal ini, pelajar lebih menitikberatkan keputusan peperiksaan berbanding inti pati sebenar yang harus diperoleh berdasarkan subjek itu. Apabila hal ini berlaku, maka objektif mempelajari subjek Sejarah tidak akan tercapai.

Sehubungan itu, tanggungjawab besar diletakkan pada bahu guru Sejarah untuk mengubah persepsi berkenaan. Guru Sejarah perlu peka terhadap isu ini dan mengambil langkah penyelesaian supaya pelajar berada pada landasan yang betul ketika mempelajari subjek ini.

Guru seharusnya menyedarkan pelajar bahawa subjek Sejarah bukannya berorientasi peperiksaan semata-mata, tetapi lebih daripada itu.

Dengan sejarah, kita mengetahui banyak peristiwa lampau yang bermakna dan boleh diambil pengajaran. Contohnya, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pelajar boleh didedahkan mengenai iktibar daripada peristiwa itu.
Begitu juga dengan semangat perpaduan ditunjukkan tokoh pemimpin berlainan bangsa seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan yang mewakili kaum masing-masing dalam mencapai kata sepakat untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Daripada peristiwa ini, pelajar akan memahami bahawa perpaduan antara kaum sangat penting untuk merealisasikan keharmonian negara.

MUHAMMAD FAUZI A RAHMAN,
UPM, Serdang

Berita Harian Online: 4 November 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan paling penting ialah Sukatan Pelajran Sejarah bagaiman? Apa skopnya?Penekanannya dimana?

Saya percaya guru sudah ada kekreatifan sebagai guru.Tak perlu dipertikaikan wibawa mereka

Banyak perkara yang menjadi faktor penguasan murid dalam MP Sejarah
1. Faktor guru
2. Faktor minat murid
3. Faktor dorongan ibubapa
4. Faktor persekitaran-bahan,kemudahan dan lain-lain

paling penting ialah faktor murid.Kalau guru pandai pun tapi murid malas dan tidak ada inisiatif meneroka,mencari dan mentelaah sesuatu aspek sejarah takkan kemana jua.

Tanpa Nama berkata...

Ya saya setuju dgn Tanpa Nama,guru sejarah dah memang ada pengalaman cuma pelajar dan masyarakat dan Sukatan saja yg perlu diperbetulkan dan tambahkan fasiliti di sekolah spt Teknologi Komputer dan yang seumpamanya
Terima kasih