Jumaat, 16 Oktober 2009

120 guru, JU Selangor ikuti kursus Pengajian Am

SERAMAI 120 guru dan Jurulatih Utama (JU) dari seluruh Selangor menyertai Kursus Peningkatan Pengajian Am peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Pulau Pangkor, baru-baru ini.

Kursus tiga hari anjuran Jabatan Pelajaran Selangor itu antara lain bertujuan meningkatkan prestasi kertas Pengajian Am di kalangan calon STPM negeri berkenaan.

Penyelia bahasa Jabatan Pelajaran Selangor, Mohd Yusof Abdul, berkata sepanjang kursus tiga hari itu peserta dibahagikan dua kumpulan mengikut dua kertas subjek berkenaan.

“Menerusi bengkel dijalankan, peserta turut membina soalan berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian untuk digunakan di sekolah masing-masing sebagai latihan tubi tambahan menjelang peperiksaan STPM tidak lama lagi,” katanya.

Seorang peserta, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia, Azhar Ahmad, berpendapat kursus itu amat berfaedah terutama bagi guru yang baru mengajar subjek berkenaan.

Bagi guru lama dan berpengalaman pula, katanya, kursus itu sesuai bagi memurnikan lagi teknik pengajaran dan pembelajaran mereka di bilik darjah.

“Ini kerana peserta bukan saja mendapat pendedahan baru, malah boleh bertukar fikiran dalam usaha memantapkan prestasi pelajar dalam Pengajian Am yang juga subjek wajib peperiksaan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, guru SMK Seafield Subang Jaya, Siti Rohana Jamaluddin, berkata pendedahan menerusi kursus itu turut meningkatkan keyakinan guru mengajar mata pelajaran terbabit.

Berita Harian Online: 16 Oktober 2009

Tiada ulasan: