Khamis, 22 Oktober 2009

Pembelian pokok bukan diurus JPN, sekolah'

PASIR PUTEH: Kos pembelian pokok dan tanaman bernilai RM57,493 untuk taman semi Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa II di sini, adalah di luar bidang kuasa pengurusan sekolah itu atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan.

Pengarah JPN Kelantan, Mohd Ghazali Abd Rahman, berkata pembelian secara terus daripada pembekal tempatan termasuk kerja menyelenggara, merawat dan menyiram tanaman di sekolah itu, dibuat oleh perunding yang dilantik Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran.

“Semua urusan pembayaran terhadap pembelian pokok serta kos penyelenggaraan sekolah itu, juga dibuat secara terus oleh perunding yang dilantik oleh kementerian.

“Perunding dilantik oleh Bahagian Pembangunan Kementerian Pelajaran dan sebarang pembayaran dan peruntukan juga dikeluarkan secara terus dari sana, yang tiada kaitan dengan JPN atau pengurusan sekolah baru itu yang beroperasi sejak Januari tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Ghazali memaklumkan demikian ketika mengulas laporan akhbar ini semalam berhubung laporan Ketua Audit Negara 2008 yang mendedahkan sebuah sekolah di Pasir Puteh membayar RM57,493 bagi membeli pokok dan tanaman seni taman secara pembelian terus daripada pembekal tempatan termasuk bagi kerja menyelenggara, merawat dan menyiram tanaman berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan perbandingan harga dilakukan Audit dengan pembekal lain di Kota Bharu bagi perkhidmatan sama mendapati kos dikenakan itu 470 peratus lebih tinggi.

Sebagai contoh, pokok pinang setinggi enam kaki dijual dengan harga RM750 sebatang sedangkan harga sebenarnya hanya RM85; bunga raya berharga RM350 (harga pasaran RM50) dan RM350 untuk sebatang pokok Kemboja berbanding harga pasaran RM45.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya hanya mengarahkan pengurusan sekolah itu supaya memastikan taman seni itu dikawal selia dan dirawat dengan baik bagi memastikan pokok itu hidup subur.

Berita Harian Online: 22 Oktober 2009

Tiada ulasan: