Selasa, 13 Oktober 2009

SJKC Jalan Davidson ke Pohang, Korea Selatan

BUKIT KIARA – Pasukan Robotik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson membuktikan kehebatan mereka apabila mengungguli tiga kategori iaitu Kategori Terbuka Sekolah Rendah, Anugerah Semangat Kepasukan dan Anugerah Persembahan Terbaik Sekolah Rendah pada Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan di Pusat Sains Negara baru-baru ini.

Guru penyelarasnya, Chong Chee Boon berkata, kemenangan itu juga sekaligus menyuntik semangat mereka bagi membawa cabaran negara pada Kategori Terbuka pada ‘World Robot Olympiad’ (WRO) di Pohang, Korea Selatan November ini.

“Saya gembira dengan kemenangan ini, dan berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih besar di peringkat antarabangsa, malah lebih penting dapat mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” katanya.

Menurutnya, persediaan menyertai pertandingan itu bermula sejak Mac lalu apabila mereka mula menyertai pertandingan peringkat daerah seterusnya zon dan kebangsaan.

“Untuk pertandingan WRO ini, pasukan kami akan bekerja lebih keras daripada sebelum ini untuk memastikan kami akan membawa pulang beberapa anugerah dan menjadi johan bagi sekolah rendah dalam kategori terbuka,” katanya.

Sinar Harian: 13 Oktober 2009

Tiada ulasan: