Ahad, 25 Oktober 2009

Persembahan istimewa buat pengetua

KUANTAN - Kenangan Bersemi Menggamit Rindu. Begitulah tema persembahan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau pada Hari Persaraan pengetua, Datin Jamaliah Zainal Abidin, baru-baru ini.

Persembahan yang dijayakan sekumpulan pelajar itu berjaya menyuntik rasa pilu warga sekolah apabila setiap babak dilakonkan tersusun kemas.

Malah persembahan itu menarik perhatian warganya apabila pelajar terbabit menyingkap sejarah dan kejayaan yang dicapai sekolah sepanjang empat tahun pengetua berkenaan berkhidmat di sekolah itu.

Persembahan diadakan sejak pagi itu, pasti memberi kenangan yang tidak dilupakan pengetua yang dikenali sebagai seorang penyayang dan berdedikasi itu.

Jamaliah berkata, sepanjang berkecimpung sebagai pendidik selama 35 tahun itu, menyifatkan pengalaman sepanjang bergelar pendidik adalah saat berharga buat dirinya.

“Dunia pendidikan terlalu istimewa kerana saya berpeluang mendekati pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan. Dari situ, saya mula memahami mereka.

“Saya ucapkan terima kasih kepada warga sekolah yang banyak membantu dan memberi kerjasama sepanjang saya menerajui sekolah ini sehingga hari persaraan,” katanya.

Beliau berkata, usaha pelajar dan guru menjayakan persembahan yang begitu istimewa buat tatapan buat kali terakhir tidak mungkin dilupakan.

“Saya menghargai setiap usaha yang dilakukan untuk meraikan persaraan saya. Mereka melakukan terbaik untuk saya dan diharapkan warga sekolah meneruskan usaha dalam kejayaan akademik dan kokurikulum,” katanya.

Bagi kaunselor sekolah, Mohd Sabri Osman, beliau menyifatkan Jamaliah adalah seorang pengetua bertoleransi dan penyayang.

“Bekerja dengan beliau tidak menimbulkan sebarang masalah kerana persefahaman yang ada melicinkan setiap urusan,” katanya.

Pada majlis itu, perletakkan memorial batu asas turut diadakan sebagai tanda ingatan.

Sinar Harian: 25 Oktober 2009

Tiada ulasan: