Rabu, 21 Oktober 2009

Guru digalak mengajar di luar kelas

KUCHING 20 Okt. - Guru-guru sekolah di negeri ini digalakkan untuk menghidupkan suasana belajar di luar kelas bagi menimbulkan rasa cinta pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran yang diambil.

Menurut Timbalan Pengarah Pelajaran Sarawak, Mortadza Alop, tidak ada halangan dan peraturan yang mengatakan guru tidak boleh membawa pelajar mereka untuk belajar di luar kelas.

Katanya, pembelajaran di luar kelas dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan setiap ilmu yang telah dipelajari di dalam kelas sekali gus meningkatkan pemahaman mereka dalam sesuatu subjek.

''Kita memang galakkan guru untuk mengajar di luar kelas bagi menimbulkan keseronokan kepada pelajar terutamanya terhadap mata pelajaran yang diambil dan tidak ada halangan bagi mereka untuk berbuat demikian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan pertandingan Formula Satu (F1) 'School Technology Challenge' peringkat negeri Sarawak di sini.

Dalam perkembangan lain, Mortadza memberitahu, pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan Menteri Kemajuan Tanah, Datuk Seri Dr. James Jemut Masing yang mahu Jabatan Pelajaran mengkaji sistem pengambilan murid di kawasan pedalaman.

''Kalau kita mempunyai sumber dan permintaan yang mengizinkan, kita sedia mempertimbangkan cadangan itu," katanya.

Baru-baru ini, Masing mencadangkan supaya pelajar di kawasan pedalaman hanya dihantar ke sekolah berhampiran kampung mereka bagi mengurangkan masalah sekolah kurang murid di sesebuah sekolah di negeri ini.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang muncul juara keseluruhan pada pertandingan Formula Satu (F1) 'School Technology Challenge' Peringkat Negeri Sarawak.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Sains Kuching yang menghantar dua pasukan.

Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: