Isnin, 26 Oktober 2009

Fokus: Sektor pendidikan

Oleh Rosniza Mohd Taha, Norliza Abdullah, Khairina Yassin dan Basir Zahrom
upen@bharian.com.my


MENGATASI masalah sekolah kurang kemudahan prasarana turut menjadi teras utama Bajet 2010.

Bajet 2010 rapat jurang pencapaian antara bandar, luar bandar

PELBAGAI pihak sependapat bahawa perancangan Bajet 2010 untuk sektor pendidikan bersesuaian dengan kebanyakan cabaran dan isu membangunkan modal insan berkualiti ketika ini.

Setiausaha Agung, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata bajet itu juga berupaya merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar serta mengurangkan kadar keciciran pelajar.

Beliau berkata, peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan sekolah baru dan blok tambahan yang dijadikan teras utama bajet itu dapat mengatasi masalah sekolah sesak dengan pelajar serta mengurangkan penggunaan kabin dan kontena sebagai kelas sementara.

"Bajet 2010 membuktikan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan sektor pendidikan dan bakal memberi impak besar dalam memastikan sasaran usaha pembangunan modal insan tercapai.

"Terima kasih kepada kerajaan menunaikan tuntutan NUTP supaya bayaran bantuan khas RM500 diperluas kepada kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional kerana kebanyakan mereka adalah pendidik," katanya kepada Berita Harian.



Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan/Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Ghani Bena, turut mengalu-alukan langkah kerajaan mengutamakan peruntukan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bagi Sabah dan Sarawak.

Katanya, penambahbaikan bangunan sekolah, asrama dan kuarters guru serta merapatkan jurang digital menerusi pemantapan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu dijadikan fokus penyaluran peruntukan itu di Malaysia Timur.

Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan turut memberi tumpuan terhadap penempatan lebih ramai guru terlatih di dua negeri itu kerana kebanyakan mereka kini di kalangan Guru Sandaran Tidak Terlatih.

"Keutamaan peruntukan mengubah suai dan menaik taraf sekolah berjumlah RM1.1 bilion di Malaysia Timur membuktikan kerajaan prihatin terhadap perkembangan pendidikan di negeri berkenaan," katanya.

Mengenai pengenalan Bai'ah Baru, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Roslan Madon, berharap kerajaan tidak mengambil tindakan drastik menguatkuasakannya bagi memastikan sekolah ditadbir secara profesional.

"Jika guru besar gagal mencapai sasaran ditetapkan selama dua tahun berturut-turut, berilah mereka peluang menjalani kursus khas enam bulan dulu dan selepas itu jika masih gagal menunjukkan prestasi baik, baru diminta meninggalkan sekolah," katanya.

Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Menengah Malaysia, Azam Mat Atan, pula berharap pentadbir semua sekolah menjadikan ia cabaran yang perlu disahut dengan penuh komitmen.

"Kecemerlangan sekolah bukan hasil usaha mutlak pengetua, malah menuntut kerjasama kakitangan pengurusan dan Bai'ah Baru ini harus dijadikan dorongan warga sekolah melonjak kecemerlangan," katanya.

Exco Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik), Adimas Halim Abdul Manaf, berkata sasaran pembangunan 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 2010 langkah baik bagi mempelbagai model sekolah cemerlang di negara ini.

Perhatian kerajaan bagi menangani masalah penguasaan literasi dan numerasi di kalangan murid normal turut mendapat pandangan positif pelbagai pihak berkaitan yang menyifatkannya sebagai pelaburan baik biarpun ia satu cabaran getir dalam dunia pendidikan hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata tekad kerajaan menangani masalah itu dengan menumpukan kepada latihan perguruan yang mantap adalah wajar bagi melahirkan guru berkepakaran menangani masalah penguasaan asas itu.

Katanya, guru adalah tulang belakang dalam pendidikan dan keperluan kementerian merangka bentuk latihan perguruan yang komprehensif penting kerana kelompok murid lemah itu memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih khusus selain dipraktikkan guru mahir.

Berita Harian Online: 26 Oktober 2009

Tiada ulasan: