Rabu, 21 Oktober 2009

35 'sejadah berdiri' di surau sekolah



ANTARA murid dan penduduk kampung yang berpeluang melihat kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 20 Okt. - Orang ramai dan warga Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di sini hari ini gempar apabila kejadian 'sejadah berdiri' seperti yang dilaporkan di beberapa tempat termasuk di Bukit Mertajam pada 2 Oktober lalu, kini berlaku pula di surau sekolah berkenaan.

Jika sebelum ini hanya sehelai yang didakwa berdiri tetapi kali ini sebanyak 35 helai sejadah dilihat berdiri mengikut saf iaitu 15 helai di ruang solat lelaki dan 19 helai di ruang solat wanita dengan sehelai daripadanya berada di bahagian hadapan seolah-olah mengimamkan solat.

Kejadian disedari pada pukul 10.55 pagi oleh seorang murid tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang mengikuti kelas pemulihan di pondok berdekatan, ternampak sesuatu yang ganjil melalui celah pintu cermin surau berkenaan lalu memberitahu kawan-kawan dan mereka memaklumkan kepada guru.

Ia bukan sahaja menarik perhatian warga sekolah yang tidak percaya ia 'dibuat-buat' oleh seseorang malah penduduk tempatan mula berduyun-duyun ke sekolah itu untuk menatap insiden yang dianggap fenomena luar biasa.

Menurut seorang guru di sekolah berkenaan, Adnan Abdullah, sebaik membuka pintu surau, dia terkejut apabila terpandang kedudukan sejadah tersebut dalam susunan seperti jemaah lelaki dan perempuan sedang mengerjakan solat dan duduk di antara dua sujud.

''Kejadian ini pertama kali saya lihat dan amat terkejut kerana kedudukannya terpisah antara jemaah lelaki dan wanita manakala kedudukan imam di bahagian hadapan.

''Lebih menghairankan ketinggian sejadah itu berdiri juga berbeza seolah-olah menunjukkan yang tinggi itu jemaah dewasa dan yang rendah adalah jemaah kanak-kanak,'' katanya.

Katanya, surau tersebut sudah seminggu tidak digunakan kerana dijadikan kelas sementara kerana ada bilik darjah yang dalam proses baik pulih.

Seorang lagi guru, Mat Yuti Hamid mendakwa, dia orang yang terakhir menggunakan surau itu petang semalam pada pukul 3.40 petang untuk solat zuhur dan ketika meninggalkan surau, dia melihat kesemua sejadah terletak di raknya.

''Semasa saya masuk, semua sejadah berlipat di atas rak bahagian belakang surau dan saya mengambilnya sehelai untuk digunakan. Selesai solat saya hanya melipat sejadah itu dan meninggalkan di ruang solat dan ketika itu tidak ada sebarang perkara aneh berlaku,'' katanya.

Sementara itu Pembantu Penguat Kuasa Pejabat Agama Pasir Mas, Kamaruddin Zakaria mendakwa, kejadian tersebut sengaja direka oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk mencipta suasana gempar.

''Berdasarkan pengamatan saya, insiden ini sengaja direka-reka untuk mengelirukan pandangan orang ramai dan mewujudkan suasana gempar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: