Sabtu, 17 Oktober 2009

Lepaskan tekanan melalui aktiviti luar

KUALA KRAI - Seramai 230 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang menyertai Perkhemahan Agung 2009 Unit Beruniform sekolah itu selama tiga hari dua malam, berakhir hari ini.

Guru Besar SK Chenu-lang, Zarina Ahmad berkata, pelajar terlibat yang juga anggota kepada empat unit beruniform sekolah itu terdiri dalam kalangan murid Tahun Empat, Lima dan Enam.

Menurutnya, empat unit beruniform berkenaan ialah Persatuan Bulan Sabit Me-rah (PBSM), Pengakap, Tu-nas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dan Puteri Islam.

“Antara aktiviti diatur sepanjang program perkhemahan ini ialah ‘jungle tracking’, bengkel pertolongan cemas dan mempelajari cara membuat pelbagai jenis ikatan tali.

“Bagaimanapun, tujuan utama program ini ialah untuk memupuk perpaduan antara semua murid terbabit tanpa mengira perbezaan pasukan uniform mana, lelaki atau perempuan atau tahun berapa mereka belajar,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Zarina berkata, aktiviti perkhemahan yang diadakan pada setiap penghujung tahun itu juga bertujuan memberi peluang kepada murid yang sebelum ini asyik menumpukan perha-tian kepada pelajaran dan persediaan menghadapi peperiksaan, melepaskan te-kanan.

“Bila lepas periksa dan berada pada penghujung sesi persekolahan, mereka tidak ada apa yang nak dibuat, jadi kita buat aktiviti perkhemahan ini supaya mereka dapat ‘release tension’,” katanya.

Zarina berkata, seramai 50 guru dan kakitangan sekolah akan bertugas mengikut shift dan bersedia sepanjang masa menjaga peserta perkhemahan itu termasuk dari segi keselamatan.

Menurutnya, langkah keselamatan lain termasuk pemeriksaan suhu badan murid juga dibuat sebelum mereka dibenarkan mengikuti perkhemahan itu sebagai langkah mengawasi penularan wabak selesema babi (H1N1).

Katanya, menyedari keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, beberapa bilik darjah turut disediakan untuk dijadikan sebagai lokasi perkhemahan sekiranya hujan lebat atau ribut berlaku dalam tempoh program itu berlangsung.

Sinar Harian: 17 Oktober 2009

Tiada ulasan: