Isnin, 19 Oktober 2009

e-mel anda: Had 10 subjek SPM memadai

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada surat pembaca dalam ruangan e-mel anda Harian Metro pada 5 Oktober lalu bertajuk ‘Pelajar sains agama perlu 12 subjek’.

Kementerian menghargai keprihatinan dan mengucapkan terima kasih berhubung pandangan pelbagai pihak terhadap isu pendidikan khususnya berkaitan dengan sistem pentaksiran pendidikan termasuk yang berkaitan pelaksanaan mengehadkan jumlah mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kerajaan sudah membuat keputusan bahawa mulai 2010 calon yang menduduki peperiksaan SPM dihadkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran.

Pelajar sekolah agama aliran Sains masih boleh mengambil 11 mata pelajaran pada 2010. Bagaimanapun, pada 2011, semua pelajar di semua aliran hanya dibenarkan mengambil maksimum 10 mata pelajaran.

Pihak kementerian berpandangan dan memperhalusi bahawa had 10 mata pelajaran adalah memadai bagi calon SPM mengikuti pelbagai aliran supaya fokus dapat diberikan kepada pembelajaran dan pengajaran.

Pelaksanaan mengehadkan 10 mata pelajaran sebenarnya sudah mengambil kira aspek pensijilan terbuka dengan memperkemaskan kaedah pemilihan mata pelajaran elektif secara lebih berfokus.

Penambahbaikan dilakukan kepada pemilihan elektif mata pelajaran kepada semua aliran sekolah dengan menjadikannya lebih seimbang dan dinamik ke arah pembinaan modal insan.

Sehubungan itu, konsep pensijilan terbuka yang sedia ada lebih terancang dan tersusun tanpa memerlukan dasar sedia ada ditarik balik.

Penambahbaikan secara khusus juga dilakukan kepada pelajar aliran agama dengan menyediakan elektif mata pelajaran yang lebih berfokus dan tersusun tanpa mengikis asas aliran agama yang mereka ikuti.

Hal ini kerana, semua pelajar lebih bersedia untuk memilih aliran sesuai seperti aliran agama sains, aliran agama teknikal dan aliran agama sastera/kemanusiaan.

Untuk makluman, berdasarkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah memadai dengan mengambil mata pelajaran elektif sains yang disediakan untuk membuat penjurusan ke bidang khusus.

Contohnya untuk bidang perubatan adalah memadai untuk mengambil mata pelajaran elektif sains iaitu Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, manakala calon yang ingin mengikuti jurusan Kejuruteraan mereka bolehlah menggugurkan Biologi dan mengambil mata pelajaran elektif Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan.

Kementerian sudah memperhalusi implikasi penetapan jumlah maksimum mata pelajaran terhadap pilihan kerjaya dan pembangunan potensi pelajar secara holistik dengan turut mengambil kira pandangan ibu bapa, guru dan masyarakat umum mengenai hal ini.

Kementerian berpandangan dan percaya bahawa had 10 mata pelajaran adalah memadai bagi calon SPM mengikuti pelbagai aliran supaya fokus dapat diberikan kepada pembelajaran dan pengajaran tanpa menambah bilangannya kepada 12 mata pelajaran.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,

Kementerian Pelajaran.


myMetro: 19 Oktober 2009

Tiada ulasan: