Sabtu, 17 Oktober 2009

Sambutan Aidilfitri eratkan perpaduan antara murid

LADANG KERILLA - Satu sambutan majlis hari raya diadakan di Sekolah Kebangsaan Ladang Kerilla di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan bertambah meriah apabila murid India juga turut meraikan majlis berkenaan di sekolah terbabit.

Hadir sama, Setiausaha Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Nik Rahim Nik Hassan.

Guru Besarnya, Ishak Daud berkata, sambutan majlis seumpama itu diadakan bagi menyatukan kaum yang pelbagai termasuk kaum India yang merupakan kaum minoriti di sekolah terbabit.

“Ini merupakan sambutan yang diadakan secara besar-besaran dalam usaha memberikan suasana meriah pada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang kita raikan bersama kaum India di kawasan ini.

“Diharapkan sambutan tradisi seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memeriahkan pelbagai sambutan perayaan di negara kita," katanya.

Pada majlis itu juga turut diadakan majlis pemberian zakat kepada golongan yang layak menerima bantuan tersebut yang turut disumbangkan oleh Bank Rakyat Cawangan Tanah Merah dan kakitangan sekolah.

Turut diadakan pemberian duit raya kepada seluruh pelajar seramai 146 murid termasuk murid India.

Pada majlis itu juga murid-murid dan guru turut dijamu dengan hidangan pelbagai termasuk sate, nasi himpit, lemang, rendang dan biskut raya.

Sinar Harian: 17 Oktober 2009

Tiada ulasan: