Rabu, 28 Oktober 2009

Sentral: Sekolah Kita: Kem 1Malaysia rapat jurang

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

Program dedah aktiviti mengenali, memahami budaya kaum lain

KUALA LUMPUR: Program Kem 1Malaysia peringkat sekolah rendah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berakhir 25 Oktober lalu berjaya merapatkan jurang antara 900 pelajar dari pelbagai kaum yang menyertainya.

Program yang berlangsung sejak Ogos lalu dengan tiga siri membabitkan zon Keramat, Sentul dan terakhir, Bangsar/Pudu itu mendedahkan pelajar dengan budaya pelbagai kaum di negara ini menerusi aktiviti menarik berbentuk lawatan, kuiz, pertandingan mewarna, makan masakan Malaysia, permainan rakyat dan tarian tradisional pelbagai kaum.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Sulaiman Wak, berkata sepanjang program empat hari tiga malam, pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam didedahkan dengan aktiviti bagi mengenali dan memahami budaya kaum lain.

“Fokus utama kem ini untuk memupuk perpaduan antara pelajar berbilang kaum menerusi aktiviti yang dijalankan. Pelajar ini juga diberi pendedahan mengenai tokoh pejuang kemerdekaan tanah air dengan membawa mereka melawat ke memorial tokoh kemerdekaan tanah air bagi memupuk semangat patriotik dan mengenali sejarah pemimpin negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis penutup program berkenaan di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang turut dihadiri Ketua Pengarah Arkib, Datuk Sidek Jamil. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Penyelidikan dan Pengembangan, Daresah Ismail dan Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Azemi Abdul Aziz.

Peserta yang ditemui turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengenali budaya masing-masing serta budaya pelbagai kaum di negara ini.

Mohd Daniel Iskandar, 12, berasa bertuah kerana dapat menyertai program berkenaan walaupun terpaksa meninggalkan keluarganya selama empat hari.

“Program ini amat menyeronokkan kerana kami dapat merasai permainan tradisional yang kami sendiri tidak tahu selama ini seperti ‘nenek si bongkok tiga’, galah panjang dan congkak. Bagi saya, permainan ini ada kelebihan tersendiri kerana kami perlu bekerjasama dan saling bantu membantu.

“Kami juga dibawa melawat ke memorial yang menempatkan sejarah pemimpin negara. Harap program ini dapat diteruskan bagi perpaduan dan keharmonian negara kita,” katanya.

Eugene Goh Min Hui, 12, dari Sekolah (Lelaki) Jalan Pasar 1 turut gembira kerana bukan saja berpeluang berkenalan dengan rakan baru dari pelbagai kaum tetapi memahami budaya warisan nenek moyang.

“Saya dapat berkenalan dengan rakan baru dari orang Melayu dan India. Bagi saya, kita semua adalah rakyat Malaysia dan perlu bekerjasama antara semua kaum agar negara kita terus aman seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu,” katanya.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

Tiada ulasan: