Rabu, 21 Oktober 2009

SM Dato' Penggawa Barat juara 3P

JOHOR BAHRU 20 Okt. - Sekolah Menengah (SM) Dato' Penggawa Barat, Pontian berjaya mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut dalam pertandingan Kuiz Program Pelancongan Pelajar (3P), di sini semalam.

Dengan kemenangan tersebut, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM800 sekali gus menjadi wakil negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan pada bulan depan.

Ketua kumpulan, Mohd. Zahim Zakaria, 16, berkata, dia dan tiga rakannya tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk meraih kemenangan apatah lagi muncul juara.

"Namun, seperti kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, kumpulan kami berjaya mengharumkan nama sekolah sekali lagi. Kami amat bersyukur dan gembira dengan kejayaan ini," katanya.

Kejayaan tersebut, jelasnya, adalah berkat komitmen dan pengorbanan semua pihak terutamanya guru-guru Kelab Pelancongan sekolah tersebut.

Kemenangan tersebut, bukan sahaja membawa kegembiraan tetapi ia juga bermakna mereka perlu melipatgandakan usaha untuk berentap di peringkat kebangsaan.

"Ia memberi sedikit tekanan kepada kami sekumpulan. Tetapi kami percaya dengan tunjuk ajar yang diberikan oleh guru-guru, kami dapat laluinya dengan sebaik mungkin," katanya.

Pertandingan yang bertujuan meningkatkan kesedaran para pelajar mengenai industri pelancongan di negara ini selain memupuk semangat cintakan negara itu disertai lapan buah sekolah.

Kuiz 3P juga untuk membina pengetahuan dan budaya melancong di dalam negara kepada pelajar terutamanya tempat-tempat bersejarah dan kebudayaan setempat.

Program berkenaan telah diperkenalkan pada 2001 oleh Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pendidikan (ketika itu).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang.

Tempat kedua pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra yang membawa pulang hadiah RM600, manakala tempat ketiga Sekolah Menengah Tun Habab yang meraih RM400.

Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2009

Tiada ulasan: