Selasa, 20 Oktober 2009

Jiao Zong tak mahu sistem dirombak

“JANGAN ganggu sensitiviti kaum Cina. Kami tak boleh terima apa saja cadangan yang boleh mengganggu budaya orang Cina. Apa yang sudah dilaksana ketika ini sudah dikira cukup baik dan perlu diteruskan. Jika ia diusik, saya tak boleh bayangkan apa yang bakal berlaku nanti.”

Itu pandangan Pengerusi Pertubuhan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Ong Chiaw Chuan, apabila diajukan pertanyaan mengenai cadangan banyak pihak supaya beberapa subjek bukan teras diajar dalam Bahasa Melayu di semua sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Beliau berkata, sejak merdeka sehingga sekarang, dasar pendidikan negara menetapkan sekolah pelbagai aliran di Malaysia bagi memelihara budaya semua kaum utama di negara ini sekali gus menetapkan bahasa pengantar menggunakan bahasa ibunda di sekolah berkenaan.

Justeru, katanya, tak kira sama ada SJK Cina atau Tamil, kedua-duanya berhak terus menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan hak itu tidak boleh diganggu, apatah lagi untuk menukar dasar yang sudah dipakai sejak sekian lama.

“SJK (C) dan SJK (T) ada bahasa pengantar kami sendiri. Sama seperti sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Kebangsaan. Jika di sekolah aliran Melayu boleh guna sepenuhnya Bahasa Melayu, kenapa nak ganggu sekolah Cina atau Tamil?

“Lainlah subjek Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, itu bolehlah diajar dalam bahasa berkenaan. Subjek lain, kami tak benarkan guna bahasa lain. Ia budaya masyarakat kami dan penting untuk memberi peluang kepada pelajar mengasah penguasaan bahasa ibunda.

“Ia juga bukan soal satu atau dua subjek yang dicadangkan. Ia berkenaan dasar dan prinsip kami yang tak boleh diubah dan diganggu gugat. Sama juga di sekolah kebangsaan, bolehkah menggunakan Bahasa Cina dalam beberapa subjek,” katanya.

Beliau berkata, ada beberapa cara lain jika kerajaan atau Kementerian Pelajaran mahu meningkatkan penguasaan bahasa di kalangan pelajar Cina atau India iaitu dengan mengukuhkan aktiviti sampingan lain yang hakikatnya sudah banyak dijalankan di SJK.

Katanya, ketika ini ada beberapa persatuan di SJK yang kerap menjalankan pelbagai aktiviti seperti bersyair, pantun, bercerita, malah aktiviti pada peringkat negeri dan kebangsaan juga kerap dijalankan membabitkan aktiviti kokurikulum.

“Bukan susah mana pun nak kuasai Bahasa Melayu. Aktiviti dan kaedah sedia ada sudah cukup baik dan tak perlu nak ubah apa-apa lagi. Cukup dengan apa yang ada,” katanya.

Merujuk kepada pandangan beberapa pihak terutama Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Profesor Dr Teo Kok Seong, Ong berkata, pandangan dua ahli akademik itu tidak mewakili seluruh masyarakat Cina, malah mereka tidak memahami langsung perasaan serta sensitiviti itu.

“Pandangan mereka tak boleh diambil kira. Sudah banyak kali mereka berdua mengeluarkan kenyataan yang tak disenangi masyarakat Cina. Mereka tak faham budaya kami,” katanya.

Sementara itu, dua lagi pertubuhan yang mewakili sekolah Cina iaitu Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah Cina Malaysia serta Kesatuan Kebangsaan Majlis Guru Besar Sekolah Cina enggan mengulas dan mahu artikel ini disiarkan terlebih dulu.

Berita Harian Online: 20 Oktober 2009

Tiada ulasan: