Selasa, 13 Oktober 2009

SRAI Seksyen 19 anjur dua program serentak

SHAH ALAM – Sempena kemeriahan Syawal, Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19 menganjurkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2009 di Dataran Perhimpunan bagi mempererat ukhuwah warga sekolah dengan penduduk sekitar sekolah itu baru-baru ini.

Guru Besar, Abdul Basir Mohd Anuar berkata, program berkenaan adalah kali yang kedua diadakan secara besar-besaran. Inisiatif itu tercetus berikutan sebelum ini majlis itu diadakan di dalam kelas masing-masing dan hanya melibatkan guru dan murid-murid sahaja.

Menurutnya, majlis itu perlulah dilakukan lebih meriah dengan menggabungkan semua kelas. Secara tidak langsung, ia dapat melibatkan semua pihak bekerjasama bagi menjayakan majlis itu dengan jayanya.

“Berkonsepkan majlis terbuka, ia dapat mempererat hubungan sekolah dengan masyarakat sekitar, khususnya tetamu yang hadir seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), polis dan bomba.

“Peluang-peluang yang ada ini secara tidak langsung dapat menghapuskan birokrasi menerusi ramah mesra bersama tetamu yang hadir,”katanya.

Pada masa sama turut diadakan Hari Anugerah Kecemerlangan Murid 2008 yang disampaikan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohamad Amir Danuri.

Antara anugerah yang diberikan ialah Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Anugerah Tahun Enam, Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

Abdul Basir berkata, seramai 55 murid berjaya memperoleh 5A pada UPSR 2008 daripada 287 calon yang mendudukinya manakala PSRA pula mencatatkan seramai 69 murid berjaya memperoleh mumtaz.

“Pencapaian itu sangat membanggakan pihak sekolah dan menjadi perangsang kepada sekolah untuk terus mencipta dan melakar kecemerlangan sekolah dalam pelbagai bidang.

“Majlis turut menyampaikan anugerah khas iaitu Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Tengku Idris Shah Sekolah Agama Jais kepada Munirah Yasmin Ahamd Shahrul kerana kecemerlangan akademiknya,” katanya.

Namun lebih manis apabila Munirah Yasmin turut menerima lapan anugerah lain, antaranya seperti Anugerah Terbaik Tahun Enam, Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Bahasa Melayu 2, Tajwid dan Tilawah serta Murid Cemerlang 2008.

Selain itu, pelbagai pendekatan yang dilakukan pihak sekolah bagi mempertingkatkan kecemerlangan sekolah ialah menerusi program Permuafakatan ibu bapa dan guru.

“Dalam majlis ini, ibu bapa dan guru bermuafakat dengan menandatangani (MoU) untuk setuju membuat sejumlah pembayaran bagi menapung kos program-program kecemerlangan murid Tahun Enam setiap tahun.

“Dengan sokongan ibu bapa, pihak sekolah juga turut mengadakan program kecemerlangan lain seperti bengkel teknik menjawab soalan daripada tenaga pengajar luar,” katanya.

Bagaimanapun, Abd Basir berharap penganugerahan itu dapat memberi perangsang kepada murid yang kurang berjaya agar mencontohi kecemerlangan rakan-rakan mereka.

Malahan UPSR 2009 juga bakal memberi kejayaan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya dari segi kuantiti dan kualiti.

Sinar Harian: 13 Oktober 2009

Tiada ulasan: