Selasa, 20 Oktober 2009

Sekolah Raja Permaisuri Bainun kekalkan pencapaian 100 peratus

IPOH 19 Okt. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun (SMKRPB) Kampong Dato' Ahmad, Ipoh di sini merupakan antara sekolah unggul di Perak selepas dapat mengekalkan pencapaian seratus peratus kelulusan peperiksaan.

Sekolah yang pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Menengah Manjoi ini sentiasa mengekalkan kecemerlangannya sejak dibuka pada 10 September 1984.

Maka tidak hairanlah jika sekolah yang dimasyhurkan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun pada 8 Julai 1987 itu berjaya merangkul Anugerah Sekolah Bestari pada tahun 1989.

Pada 1997 pula SMKRPB memenangi Naib Johan Anugerah Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar dan 1998 muncul Johan Sekolah Harapan Negara Kategori Bandar.

Pencapaian memberangsangkan itu membolehkan SMKRPB dijadikan Sekolah Rancangan Khas Berasrama Penuh kelolaan Jabatan Pelajaran Perak.

Pengetua SMKRPB, Jamaludin Yusoff berkata, tujuan penubuhan sekolah rancangan khas tersebut adalah untuk memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak luar bandar dan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, mereka merupakan pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tetapi tidak terpilih ke sekolah berasrama penuh.

Jelasnya, bagi memantapkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, SMKRPB memberi penekanan terhadap pembelajaran kooperatif bagi mata pelajaran Sains, Sains Tulen (Fizik, Kimia, Biologi), Matematik Moden, Matematik Tambahan dan Bahasa Inggeris.

''Kini, kaedah pembelajaran kooperatif ini telah kita diperluaskan untuk semua mata pelajaran di sekolah ini.

''Kaedah yang digunakan ini membolehkan para pelajar mengekalkan pencapaian lulus seratus peratus dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Jamaludin, selain kaedah pembelajaran kooperatif, SMKRPB juga menekankan pembudayaan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan secara meluas, fasih dan tepat di kalangan warga sekolah terbabit.

Katanya, pelbagai aktiviti telah dirancang yang merangkumi langkah untuk meningkatkan prestasi akademik dalam bahasa Inggeris, memantapkan aktiviti ko-akademik seperti seminar, bengkel, pengucapan umum, drama dan perbahasan seperti aktiviti membina keyakinan diri pelajar.

Jamaludin menambah, walaupun memberi penumpuan kepada dalam bidang pembelajaran, beliau juga memastikan pelajar-pelajarnya aktif dalam kokurikulum.

Utusan Malaysia Online: 20 Oktober 2009

Tiada ulasan: