Selasa, 13 Oktober 2009

Anugerah jadi perangsang buat warga pendidik

ALOR SETAR - Hari Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Agama Kedah, Mergong di sini adalah acara tahunan untuk menghargai warga pendidik cemerlang.

Pendaftar Universiti Al Bukhary, Datuk Hasan Hashim yang menyempurnakan penyampaian itu berkata, anugerah itu adalah satu perangsang kepada warga pendidik untuk terus maju dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, ia juga menjadi motivasi kepada pendidik untuk menjadi guru yang lebih cemerlang demi memartabatkan institusi pendidikan di negara ini.

“Saya harap guru mengambil peluang ini untuk terus maju pada masa hadapan,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 555 warga pendidik dalam daerah Kota Setar menerima hadiah masing-masing.

Salah seorang penerima, Mohd Rizal Abdul Rahman berkata, anugerah ini telah memberi semangat kepada beliau untuk bekerja dengan lebih cemerlang dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah kerana memberi pengiktirafan ini.

“Anugerah ini adalah merupakan motivasi kepada guru yang layak, ia juga memberi semangat dan keyakinan kepada semua warga pendidik untuk bekerja dengan lebih giat lagi,” katanya.

Pada majlis tersebut, setiap penerima anugerah menerima hadiah berupa sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000.

Sinar Harian: 13 Oktober 2009

Tiada ulasan: