Sabtu, 17 Oktober 2009

Doa ibu realisasikan gelaran Tokoh Nilam Kelantan

KOTA BHARU – Berkat doa dan nasihat ibu akhirnya ia membuahkan kejayaan kepada anaknya setelah diisytiharkan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Negeri Kelantan bagi sekolah rendah bandar.

Nurul Amirah Aminah Mohd Razali dari Sekolah Kebangsaan Zainab 2 dipilih sebagai Tokoh Nilam semalam dan mewakili negeri di peringkat kebangsaan pada tahun depan.

Bagi kategori sekolah menengah pula, Tasneem Mohd Taha Abdullah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, dipilih sebagai Tokoh Nilam.

Ibu Nurul Amirah Aminah, Norhashimah Mohd Noor berkata, tiga lalu dia menerima panggilan daripada anaknya menyatakan pihak sekolah memilihnya untuk menyertai Program Pemilihan Tokoh Nilam Peringkat Negeri Kelantan dan memintanya untuk menghantar barangan keperluan di tempat ujiannya di Pengkalan Chepa.

“Saya terkejut dan berdoa supaya Nurul Amirah dipilih sebagai Tokoh Nilam pada kali ini untuk mewakili negeri Kelantan.

“Sebelum ini, saya sentiasa menasihatkan anak saya sekiranya melakukan sesuatu biarlah dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya memberikan hasil terbaik kerana semua orang mengharapkan kejayaannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan semalam.

Norhashimah berkata, anak keempat daripada lima beradik itu sebenarnya sentiasa bersama buku walaupun dia menonton televisyen.

“Setiap masa, dia memanfaatkan dengan membaca, melayari internet mendapatkan maklumat selain mempunyai bakat dalam melukis,” katanya.

Norhashimah adalah guru di Sekolah Kebangsaan Tanjong Mas bersama suaminya, Mohd Razali Ismail, Pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu memberitahu mereka juga sentiasa menekankan aspek keagamaan terhadap anaknya itu supaya memudahkannya dalam penerimaan ilmu.

Norhashimah berkata, Nurul Amirah Aminah akan menunaikan solat berjemaah bersama ahli keluarga dan dia sendiri juga pandai berbahasa Arab.

“Saya bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh oleh Nurul Amirah ini kerana sebelum ini kakaknya, Siti Fatihah Aminah, 17, juga dipilih sebagai Tokoh Nilam peringkat negeri Kelantan.

“Saya menaruh harapan yang besar dan mendoakan supaya anak saya ini akan dipilih sebagai Tokoh Nilam di peringkat Kebangsaan nanti,” katanya.

Sementara itu, Nurul Amirah bersyukur kerana terpilih sebagai Tokoh Nilam peringkat negeri Kelantan setelah dia berusaha bersungguh-sungguh di samping berkat doa ibu bapanya bersama tunjuk ajar daripada guru-guru.

“Saya akan melakukan yang terbaik dan berusaha untuk tidak menghampakan harapan semua pihak dan impian saya juga untuk menjadi individu yang berilmu,” katanya.

Hadiah Tokoh Nilam berkenaan disampaikan Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia, Hawa Said.

Sinar Harian: 17 Oktober 2009

Tiada ulasan: