Rabu, 21 Oktober 2009

Penang Free School iktiraf kecemerlangan kokurikulum

Oleh Norakmah Mat Youb
norakmah@bharian.com.my

GEORGETOWN: Lebih 200 pelajar cemerlang kokurikulum menerima anugerah pada majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum 2009 Sekolah Menengah Penang Free (Penang Free School) di sini, kelmarin.

Anugerah disampaikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Muhammad Taufiq Abdullah; Pengerusi PIBG, Datuk Abdul Rafique Abdul Karim dan Ahli Jawatankuasa Jemaah Pentadbir Sekolah, Datuk Syed Mohd Aidid Syed Murtaza. Turut hadir, Pengetuanya, Ramli Din.

Sebelum majlis penyampaian sijil dan anugerah dimulakan, lebih 50 pelajar dari beberapa badan beruniform melakukan lintas hormat diikuti persembahan oleh Kelab Pertahanan Diri dan Pancaragam Sekolah.

Selepas itu, semua tetamu dibawa melawat bilik pameran kokurikulum bagi mendapatkan gambaran lebih jelas aktiviti yang dijalankan di sekolah itu.

Antara sijil yang disampaikan ialah Sijil Kehadiran Penuh 2008, Sijil Kepujian Persatuan/Kelab/ Lembaga Sekolah, Sijil Kepujian Badan Beruniform, Sijil Kepujian Rumah Sukan, Sijil Kecemerlangan kokurikulum bagi pencapaian kokurikulum dan ko-Akademik serta 'School Colours' untuk pemain yang mewakili negeri/kebangsaan.

'School Colours' dianugerahkan kepada pelajar yang berkhidmat kepada sekolah dan mewakili negeri dalam pertandingan sukan atau permainan pada peringkat kebangsaan.

Sijil Kecemerlangan Kokurikulum pula dianugerahkan kepada pelajar yang muncul johan dalam pertandingan ko-kurikulum pada peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.

Hari ini, Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah 2009 akan diadakan yang dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas, bertempat di dewan sekolah.

Ramli dalam ucapannya pada majlis itu berkata, kecemerlangan kokurikulum perlu diteruskan setiap tahun bagi memastikan Penang Free School sentiasa menjadi sekolah terbaik antara yang terbaik.

"Kami bukan saja mahu pelajar cemerlang dalam akademik, tetapi juga sukan dan aktiviti kokurikulum kerana ia akan menjadi bonus kepada pelajar pada masa depan,” katanya.

Syed Mohd Aidid pula berkata, hanya pelajar yang benar-benar berdisiplin mampu mencapai kejayaan sama ada dalam akademik atau kokurikulum.

Penang Free School yang diasaskan Reverend Robert Sparke Hutchings pada 1816 adalah sekolah Inggeris pertama di Malaysia.

Pada Mac 2007, ia mendapat pengiktirafan Kementerian Pelajaran apabila dipilih sebagai sekolah kluster.

Berita Harian Online: 21 Oktober 2009


Tiada ulasan: