Jumaat, 1 Mei 2009

Awasi anak murid

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Guru diminta memantau tahap kesihatan dan melaporkan segera jika berlaku perubahan kesihatan mendadak pada pelajar masing-masing bagi mengelakkan berlakunya penularan wabak selesema babi di sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata ketika ini, mereka tidak boleh mengambil sebarang risiko dengan mengganggap penyakit seperti batuk atau demam sebagai penyakit biasa.

“Saya ingin mengingatkan semua guru, pesan kepada anak murid...perhati dan lihat kalau ada di kalangan mereka demam atau batuk, nasihatkan mereka berjumpa doktor atau maklumkan kepada ibu bapa membawa anak berjumpa doktor.

“Bagi anak-anak (pelajar) pula, jangan ambil ringan perkara ini, jaga kesihatan baik-baik dan sekiranya berlaku (demam, selesema dan batuk) jangan lengahkan, berjumpa doktor supaya dapat rawatan terbaik,” katanya ketika ditemui selepas majlis Tilawah al-Quran peringkat bahagian Kementerian Pelajaran ke-19 anjuran Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim), semalam.

Noor Rezan berkata, sehingga semalam, pihaknya belum mengeluarkan sebarang arahan rasmi berhubung pendekatan atau langkah perlu diambil kementerian itu untuk berdepan wabak berkenaan.

“Ketua Pengarah (Datuk Alimuddin Md Dom) akan mengeluarkan surat arahan dari Unit Dasar sama ada hari ini (semalam) atau selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya.

Sementara itu, Hamidah Dahol dari Majlis Peperiksaan Malaysia diumumkan johan qariah, manakala Abdul Razak Mohamad dari Bahagian Pembangunan kementerian johan qari yang akan mewakili Ibu Pejabat Kementerian Pelajaran ke Majlis Tilawah al-Quran Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan.

myMetro: 1 Mei 2009

Tiada ulasan: