Rabu, 20 Mei 2009

Guru lepasan diploma dilupakan

KITA berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas pengumuman beliau pada majlis Perasmian Hari Guru 2009 di Kuala Terengganu 16 Mei lalu mengenai begitu banyak peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru Lepasan Ijazah (PPPS).

Mereka ini kebanyakannya bertugas di sekolah-sekolah menengah, menjadi pegawai di Kementerian Pelajaran (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pensyarah di Institut Perguruan dan Kolej Matrikulasi di seluruh Malaysia.

PPPS ini ada juga yang sudah mula bertugas di sekolah rendah. Tetapi mereka ini adalah kelompok guru-guru lepasan diploma yang menyambung pelajaran secara dalam perkhidmatan dan masih baru serta ada yang belum dilantik dan disahkan dalam jawatan.

Pengumuman Muhyiddin itu sememangnya begitu menggembirakan guru-guru PPPS kerana peluang mereka untuk meningkat ke gred yang lebih tinggi begitu luas dan terbuka.

Tetapi bagaimana pula nasib rakan-rakan guru-guru lepasan diploma (PPPLD) yang rata-rata berada di sekolah rendah, terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang terpaksa meredah kesusahan? Mereka ini ada juga yang ditempatkan di KPM, JPN dan PPD tetapi hanyalah sebagai runner kepada pegawai-pegawai atasan.

Bagi saya, jasa dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka ini amat berat dan sentiasa menjadi perhatian dan penilaian daripada semua pihak kerana merekalah pelaksana segala teori-teori, dasar-dasar, rekaan-rekaan dan ciptaan-ciptaan para kaum intelektual atasan.

Sesungguhnya guru lepasan diploma inilah yang sentiasa diasak oleh pelbagai pihak dengan arahan-arahan yang kadang-kala sesak nafas dibuatnya. Bidang ko-kurikulum seperti aktiviti sukan dan badan beruniform, ramailah guru-guru PPPLD ini yang menjadi tunggak utama.

Oleh itu, kita sangat dukacita dengan nasib yang menimpa golongan guru PPPLD ini. Mereka seperti tiada pembelaan.

Pada pelancaran Hari Guru 2009 baru-baru ini, tidak ada langsung habuan yang menggembirakan mereka, seolah-olah mereka ini tidak wujud. Mereka dilupa dan disisih untuk mendapat sedikit habuan.

Setahu saya, pihak kesatuan guru telah pun mengemukakan beberapa memorandum dan permohonan yang dirasakan relevan untuk guru PPPLD ini peroleh.

Sebagai contoh, perubahan laluan kerjaya PPPLD dijadikan lima gred (GGA 29, DGA 32, DGA 34, DGA 36 dan DGA 38) dari tiga gred (DGA 29, DGA 32 dan DGA 34).

Selain itu tambahan elaun kepada guru-guru penolong kanan, wujudkan ketua bidang, elaun keraian guru besar dimasukan dalam slip gaji, kaji semua habuan serta kemudahan bagi guru di pedalaman dan banyak lagi masalah dan rintihan yang telah dikemukakan.

Mungkin kertas kerja yang dikemukakan tidak begitu kemas dan ilmiah kerana yang ramai menjadi pemimpin kesatuan guru adalah daripada kalangan guru-guru PPPLD.

Mereka ini mungkin hanya tahu berhujah secara lisan tetapi tidak secara kertas kerja yang ilmiah. Maklum sajalah, penyedia kertas kerja tersebut tidak ada ijazah.

Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dengan apa yang diberi kepada guru setakat hari ini. Tetapi harapan kami agar pihak atasan berhati-hati ketika hendak memberi habuan atau hadiah agar tidak ada yang tercicir dan tergores hati.

MOHAMAD ISMAIL
Setiausaha Agung Kongres
Kesatuan Guru Dalam
Perkhidmatan Pelajaran
Malaysia (KONGRES)

Utusan Malaysia Online: 20 Mei 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

guru tanpa nama
sepatutnya kementerian mengarahkan JPN negeri membuat senarai terperinci guru-guru lepasan diploma yang sudah sampai timebased dan gaji mereka sudah tidak berganjak bertahun-tahun berilah mereka peluang kerana ada dikalangan mereka yang cemerlang dari segi perkhidmatan samada di sekolah rendah mahupun menengah.

Tanpa Nama berkata...

guru bernasib malang
kenaikan pangkat menjadi rebutan setiap guru namun malang sekali urusan kenaikan pangkat bukannya mengikut pencapaian prestasi,kebolehan serta seniority. Ketidak adilan ini menyebabkan ramai guru yang senior berjauh hati disebabkan campurtangan politik dan sebagainya. Oleh itu jikalau kementerian pendidikan sebenaranya bersikap adil dan telus seharusnya guru PPLD tidak harus dilupakan.