Sabtu, 9 Mei 2009

Muhyiddin sedia bincang isu PPSMI

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri akan bertemu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kalangan sasterawan dan budayawan bagi membincangkan isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau sentiasa bersedia dan terbuka untuk menerima pandangan pelbagai pihak dalam membincangkan isu berkenaan.

"Saya terbuka dan bersedia mendengar... kita akan mula mendapatkan pandangan pertubuhan yang menunjukkan minat untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Ada beberapa kumpulan yang benar-benar berminat berjumpa saya dan kita akan memberi tarikh sesuai kepada mereka.

"Ini bukan soal kerajaan, tetapi soal masa depan anak kita. Bagaimanapun, mereka perlu faham kita mempunyai dasar, kita mahu semua pihak mendapat faedah daripada dasar dan bukan satu pihak saja," katanya selepas merasmikan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia 2009, di sini semalam.

Minggu lalu, Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran mengkaji semula pelaksanaan PPSMI berikutan tidak berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dibentangkan baru-baru ini.

Kabinet berpendapat laporan itu bukan penanda aras tepat untuk menilai kewajaran pelaksanaan dasar berkenaan, sebaliknya memerlukan maklumat lengkap daripada semua sudut.

Keputusan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk sasterawan dan budayawan yang mahu mengadakan pertemuan untuk mencari penyelesaian segera demi masa depan pendidikan negara.

Muhyiddin berharap segala pandangan yang diberikan kelak perlu bersifat menyeluruh demi pembangunan pendidikan negara.

"Kita mengambil kira kepentingan semua. Biarlah ia memberi keuntungan kepada semua pihak. Justeru, pandangan dilontarkan biarlah pandangan holistik dan bukan pandangan sempit," katanya.

Berita Harian Online: 9 Mei 2009

1 ulasan:

awang soh berkata...

Curang bahasa (bahasa sendiri)dan kemaruk bahasa Inggeris adalah antara punca kepada penerusan PPSMI. Gejala curang dan kemaruk yang tidak sepatutnya ini wajar dibanteras habis-habisan.