KUALA LUMPUR – Seramai lebih 1,500 pasukan terdiri daripada sekolah rendah dan menengah seluruh negara menyertai Pertandingan Robotik anjuran Sasbadi Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Sains Negara di sini.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, perkembangan dan pencapaian dalam pertandingan tersebut amat mengagumkan kerana ia amat popular dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, penyertaan pasukan dari kawasan bandar dan kawasan luar bandar adalah seimbang. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa jurang yang semakin mengecil antara pelajar bandar dan luar bandar dari sudut penguasaan kemahiran sains dan teknologi serta robotik.
“Pasukan yang menyertai pertandingan tersebut menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun baik di peringkat daerah, kebangsaan dan juga antarabangsa. Malah dalam Pertandingan ‘World Robot Olympiad (WRO) tahun lalu di Yokohama, penyertaan terdiri daripada 200 pasukan seluruh dunia termasuk kontinjen negara.
“Kontinjen negara yang terdiri daripada enam pasukan berjaya meraih lima pingat iaitu satu pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa daripada keseluruhan 18 pingat yang dipertandingkan dalam acara utama dan daripada pungutan pingat tersebut, negara kita berjaya mendapat tempat kedua,” katanya.
Selain itu, katanya, kemenangan negara mendapat pingat emas bagi dua tahun berturut-turut (2007 dan 2008) dalam kategori sekolah menengah atas dalam WRO amat bermakna dan berprestij.
“Projek yang dipersembahkan pasukan negara bukan sahaja berkualiti tinggi malah berpotensi untuk dikomersialkan dan kejayaan tersebut sewajarnya amat dibanggakan,” katanya.
Tambahnya, penguasaan dan penca- paian pelajar dalam bidang sains dan teknologi mampu mencapai taraf dunia melalui ukuran daripada pertandingan robotik sama ada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Malah pelajar yang bertanding turut berkesempatan mendapatkan pendedahan yang cukup besar manfaatnya serta dapat dikongsi bersama dengan rakan mereka yang lain,” katanya.
Sinar Harian: 10 Oktober 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan