Isnin, 13 April 2009

Fokus: Guru berpolitik

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


AKTIVITI pengajaran dan pembelajaran yang ditunjukkan guru sendiri mirip proses pembentukan kemahiran kepemimpinan yang perlu ada pada ahli politik.

Saranan dikhuatiri melemahkan sistem pendidikan, gugat usaha menjana modal insan berwawasan

SARANAN Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membenarkan guru kumpulan A menyertai politik mendapat reaksi pelbagai pihak yang masing-masing mempunyai pandangan tersendiri bagi mengulas usul itu.

Banyak pihak mengemukakan reaksi berhubung kewajaran cadangan berkenaan kerana jika usul berkenaan dipersetujui dikhuatiri akan melemahkan sistem pendidikan yang menjadi pemangkin usaha menjana modal insan berwawasan.

Bagi tokoh pendidik tanah air, Tan Sri Arshad Ayub, berkata cadangan itu perlu diperhalusi kerana ia memberi pelbagai impak kepada sistem pendidikan negara.

Jika satu atau 10 peratus daripada 354,933 (jumlah keseluruhan guru siswazah dan bukan siswazah) menyertai politik, beliau berkata, angka ini cukup besar serta dikhuatiri pembabitan mereka secara serius menidakkan hak 5.1 juta pelajar mendapatkan perhatian sepenuhnya daripada mereka.

Apabila diteliti, jika guru dibenar menyertai politik, katanya, ini bermakna mereka mempunyai dua profesion dalam satu masa iaitu memikul tugas hakiki sebagai pendidik yang diberi gaji dan diamanahkan mendidik anak bangsa.



"Tetapi dalam masa yang sama juga digunakan untuk berpolitik. Senario ini dikhuatiri mewujudkan suasana tidak kena dalam sistem pendidikan itu sendiri.

"Faktor persekitaran serta perubahan taraf sosial masyarakat dulu dan kini jauh berbeza, guru ketika itu menjadi orang penting dalam sesebuah institusi kemasyarakatan kerana ketika zaman pramerdeka, golongan cerdik pandai lulusan universiti tempatan mahupun luar negara terlalu sedikit.

"Ketika itu guru adalah antara golongan pandai dan layak sebagai pemimpin masyarakat," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Arshad berkata, berbeza senario politik semasa, pada era politik pascamerdeka, golongan berpendidikan tinggi dalam pelbagai jurusan perlu dioptimumkan tenaga, pengetahuan serta kebolehan mereka memimpin masyarakat.

Senario politik juga kata beliau, berbeza iaitu pramerdeka lebih kepada usaha mendapatkan kemerdekaan dan kini politik semasa menjurus kepada kelangsungan perjuangannya serta survival.

Perubahan semasa katanya, tidak memerlukan guru aktif dalam politik kerana lebih ramai graduan yang berdaya saing boleh dididik dan dibimbing untuk menggalas tugas berkenaan.

"Tugas guru kini tidak boleh diganggu kerana tanggungjawab semakin mencabar berikutan ledakan maklumat menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pelbagai medium lain.

"Semua perubahan ini menuntut guru lebih bersedia berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar, selain memastikan masalah disiplin dapat dikurangkan," katanya.

Arshad berkata, isu disiplin kini sudah cukup kompleks dan memerlukan tumpuan sepenuhnya. Ia tidak termasuk masalah antara guru besar dengan guru, guru dan rakan sekerja serta permasalahan pelajar yang memerlukan penyelesaian segera.

"Saya bimbangkan padahnya pada masa akan datang, masalah di sekolah yang banyak menimbulkan pelbagai rungutan di kalangan guru, jika dalam masa yang sama mereka dibenar berpolitik, bebanan meningkat serta dikhuatiri kepentingan murid diketepikan.

"Guru sebagai manusia biasa, pembabitan dalam politik ditakuti menjejaskan perhatian mereka di bilik darjah kerana sepanjang tempoh mengajar mereka mungkin akan terlepas kata berbaur hasutan mengenai ideologi disertai," katanya.

Usul membenarkan ruang dibuka kepada guru kumpulan A yang terdiri daripada graduan lepasan universiti dalam dan luar negara yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah memiliki kelulusan profesional dapat dioptimumkan bagi memperkasakan sesebuah parti, selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak.

Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

INFO: Statistik Kementerian Pelajaran sehingga Januari 2009

  • Seramai 354,933 guru mengajar di 9,762 sekolah rendah dan menengah.

  • 213,742 mengajar di sekolah rendah (55,385 kategori Kumpulan A).

  • 141,209 mengajar di sekolah menengah (14,040 bukan kategori Kumpulan A).

  • 182,554 guru layak menyertainya.

  • Berita Harian Online: 13 April 2009

    Tiada ulasan: