Jumaat, 17 April 2009

Johor: Tugas mendidik tak harus diserah kepada guru saja

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my


HAMIM (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang AJK PIBG selepas merasmikan mesyuarat agung PIBG SKS5D, Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.

Ibu bapa punyai tugas besar dorong anak capai kejayaan

MUAR: Prestasi kecemerlangan dan kejayaan anak dalam bidang pendidikan bergantung kepada dorongan dan semangat ibu bapa yang mahu melihat anak mereka berjaya tanpa bergantung kepada guru semata-mata.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata sudah menjadi tanggungjawab setiap guru mendidik pelajar di sekolah bagi memastikan mereka mencapai kejayaan dalam semua peperiksaan.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa juga mempunyai tugas lebih besar untuk menentukan anak mereka berjaya dengan memberi tunjuk ajar dan teladan baik ketika berada di samping keluarga tanpa menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru.

Beliau berkata, ibu bapa juga tidak boleh hanya setakat menaruh harapan mahukan anak mencapai kejayaan tanpa melengkapkan mereka dengan kemudahan pembelajaran yang secukupnya di rumah.

"Kekurangan bahan pendidikan seperti buku rujukan menyebabkan mereka berasa bosan ketika mengulang kaji pelajaran di rumah sehingga menyebabkan mereka keluar untuk bertemu kawan-kawan.

"Justeru, ibu bapa perlu bersikap lebih rasional jika mahukan anak mereka berjaya termasuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan membelanjakan sebahagian pendapatan untuk keperluan anak di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa (PIBG) Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat (SKS5D) Bukit Gambir, Ledang, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mohd Noh Abd Montalib dan guru besar, Mazlan Ahmad.

Hamim yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Ledang berkata, kehadiran ibu bapa dalam mesyuarat agung PIBG penting sebagai sokongan serta komitmen mereka untuk meningkatkan kecemerlangan pelajaran dan kebajikan pelajar.

Beliau berkata, langkah itu juga boleh mewujudkan kesepakatan dan kerjasama lebih erat antara masyarakat setempat dan pihak sekolah sekali gus dapat menjana kecemerlangan dan kejayaan pelajar.

Berita Harian Online: 17 April 2009

Tiada ulasan: