PASIR PUTEH 21 April - Sekolah Kebangsaan (SK) Seligi yang mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh menjuarai Pertandingan Kompang Selawat peringkat negeri Kelantan di SK Seri Aman di sini semalam.
Naib johan dalam pertandingan yang melibatkan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran itu pula disandang oleh SK Pengkalan Chepa, mewakili PPD Kota Bharu dan manakala SK Beris Panchor dari PPD Bachok mendapat tempat ketiga.
Bagi Pertandingan berzanji marhaban pula, johan disandang oleh pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Wataniah, Machang manakala SMK Bukit Jawa, Pasir Puteh di tempat kedua dan ketiga SMKA Lati, Pasir Mas.
Sebanyak 20 pasukan iaitu 10 pasukan dari sekolah rendah menyertai pertandingan Kompang Selawat dan 10 pasukan dari sekolah menengah mengambil bahagian dalam pertandingan berzanji marhaban.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Mohd. Ghazali Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Ghazali ketika berucap pada majlis itu berkata, pertandingan itu diadakan untuk menjana pembangunan modal insan di peringkat sekolah melalui kegiatan kokurikulum supaya murid terdidik dengan nilai-nilai murni dan mempunyai jati diri yang kuat.
"Dengan ini juga peserta memperoleh penghayatan ajaran Islam dan pengekalan terhadap budaya Timur yang murni. Ia juga suatu wadah kepada murid untuk melibatkan diri dengan aktiviti yang sihat," ujarnya.
Katanya, ia juga dapat memperkuatkan penghayatan murid kepada budaya melalui aktiviti kokurikulum serta menggembeling tenaga dan mempertingkatkan muafakat antara warga pendidikan dengan komuniti masyarakat setempat.
Utusan Malaysia Online: 22 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan