Rabu, 15 April 2009

Galakkan murid baca Utusan Malaysia

alakkan murid baca Utusan Malaysia


MOHD. Puad Zarkashi menyerahkan replika cek RM14,400 kepada Mohd. Basir Abdul Rahim (kiri) di Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 14 April – Para guru perlu menggalakkan murid membaca akhbar arus perdana termasuk Utusan Malaysia untuk membolehkan mereka mendapatkan pelbagai maklumat terkini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia boleh dilakukan dengan melanggan akhbar tersebut dan menjadikannya sebagai alat pembelajaran untuk sesuatu mata pelajaran.

Menurutnya, murid yang tidak berminat membaca akhbar akan menyebabkan mereka tidak mengetahui dan memahami isu semasa dan akhirnya pemikiran tidak berkembang.

‘‘Saya menggalakkan sekolah melanggan akhbar arus perdana termasuk Utusan Malaysia agar anak-anak terdedah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan maklumat semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis kesyukuran atas kemenangan bertanding Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran anjuran UMNO Bahagian Batu Pahat di sini malam tadi.

Sempena majlis itu, Mohd. Puad yang juga ketua UMNO bahagian tersebut turut menyampaikan cek RM14,400 bagi menaja 20 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk sepuluh sekolah dalam kawasannya dari 23 Mei hingga 16 November ini.

Cek diserahkan kepada Pengurus Kanan Pemasaran dan Pengedaran Utusan Melayu (M) Bhd; Mohd. Basir Abdul Rahim.

Mohd. Puad berasa kesal kerana masih terdapat ibu bapa yang tidak melanggan akhbar bagi menanamkan minat anak masing-masing untuk membaca.

‘‘Ada pula bapa yang lebih suka membaca akhbar di warung atau kedai kopi secara percuma sedangkan anak-anak mereka tidak mendapat sebarang maklumat,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 15 April 2009

Tiada ulasan: