Selasa, 14 April 2009

Galak pelajar ambil ujian PERMATApintar - Rosmah


ROSMAH Mansor beramah mesra dengan sekumpulan murid yang menyambut ketibaannya di Sekolah Wawasan USJ 15, Subang, semalam.


SUBANG 13 April - Pegawai pelajaran dan guru disaran menggalakkan pelajar mereka mengambil ujian PERMATApintar untuk mencungkil bakat pelajar pintar cerdas di negara ini.

Penaung program PERMATApintar Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ia dibangunkan kerana menyedari kanak-kanak pintar cerdas mempunyai keperluan khas dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang perlu dipenuhi serta dipupuk secara holistik.

"Kami telah memperkenalkan program PERMATApintar Negara pada 2 Mac lalu, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula diamanahkan untuk melaksanakan program tersebut.

"Fakulti Pendidikan UKM telah membangunkan tiga ujian saringan yang dikenali sebagai Ujian PERMATApintar UKM 1, UKM 2 dan UKM 3 untuk disertai oleh kanak-kanak berumur dari sembilan hingga 15 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pelaksanaan Program PERMATApintar Negara di Sekolah Wawasan USJ 15 di sini hari ini.

Rosmah berkata, kanak-kanak yang berminat boleh mengambil ujian PERMATApintar UKM 1 melalui laman web www.permatapintar.com.my dan mereka yang memperoleh 80 markah ke atas layak menduduki ujian PERMATApintar UKM 2 dan UKM 3.

"Seterusnya, kami akan memilih 300 pelajar yang telah lulus semua ujian saringan berkenaan untuk menyertai program Perkhemahan Cuti Sekolah yang dikendalikan oleh UKM pada Disember ini selama dua minggu," jelasnya.

Menurut beliau, perkhemahan tersebut akan menggunakan kurikulum yang dibina khas oleh pakar pendidikan di UKM dan Johns Hopkins University-Center for Talented Youth (CTY) dari Amerika Syarikat (AS).

"Sepanjang perkhemahan itu, mereka berpeluang memilih untuk mempelajari dua topik daripada tiga mata pelajaran yang disediakan iaitu Sains, Matematik dan Penulisan Kreatif.

"Antara topik berkenaan ialah Sensori dan Pengamatan, Robotik, Genetik serta Penulisan Fantasi Moden. Ia pasti dapat merangsang minda para peserta untuk meneroka pengetahuan baru dengan lebih mendalam," ujarnya.

Rosmah menambah, jumlah penyertaan kanak-kanak dalam ujian PERMATApintar UKM 1 sehingga kini tidak begitu memberangsangkan sejak ia diperkenalkan lebih sebulan lalu.

"Berasaskan jumlah penduduk Malaysia dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun, kanak-kanak yang dikategorikan sebagai pintar cerdas dianggarkan berjumlah 140,000 orang.

"Bagaimanapun, sehingga kini, hanya 1,900 kanak-kanak sahaja yang telah mengambil ujian PERMATApintar UKM 1 dan berjaya menjawab semua soalan dalam masa satu jam," katanya.

Menurut beliau, pelajar pintar cerdas ialah aset negara yang perlu dipelihara kerana mereka mampu melonjakkan nama negara dalam pelbagai bidang ilmu baru untuk faedah generasi akan datang.

"Jika aset berharga ini diabaikan, ia akan menjadi aset terbiar dan amat merugikan negara dalam pembangunan modal insan yang merupakan misi nasional negara dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)," katanya.

Utusan Malaysia Online: 14 April 2009

Tiada ulasan: