Selasa, 28 April 2009

Masalah besar jika SMKBSP tidak siap

SEBAGAI penduduk tetap di Bandar Seri Putera, berhampiran Bangi Lama, Kajang, saya meminta pegawai Kementerian Pelajaran turun padang untuk melihat kemajuan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putera (SMKBSP).

SMKBSP boleh berbangga kerana menjadi sekolah menengah yang pertama dibina ketika Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang berakhir 2010. Namun sehingga kini sekolah itu belum siap. Penduduk Bandar Seri Putera kini berhadapan dengan masalah untuk menghantar anak mereka ke sekolah, memandangkan sekolah menengah yang berhampiran terletak di Bandar Baru Bangi, kira-kira 18 kilometer dari bandar ini.

Saya mohon Menteri Pelajaran yang baru dapat turun padang untuk melihat dan menyelesaikan masalah ini yang berlarutan begitu lama. Selain itu saya juga meminta Kementerian Pelajaran dapat membina sebuah lagi sekolah menengah di Bandar Bukit Mahkota, kerana tapak sekolah disediakan pemaju perumahan di situ.

Difahamkan penduduk Bandar Bukit Mahkota juga terpaksa menghantar anak mereka bersekolah di Bandar Baru Bangi yang jauh. Kami perhatikan, Bandar Seri Putera pesat membangun dan pertambahan penduduknya begitu pantas sekali. Kalau SMK Bandar Bukit Mahkota tidak dibina dalam waktu terdekat ini, besar kemungkinan SMKBSP tidak dapat menampung pelajar yang ramai.

Penduduk tidak mahu melihat bilangan pelajar di setiap bilik darjah di SMKBSP begitu ramai, sehingga melebihi 60 pelajar yang boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

SAARI SUNGEP,
AJK Penduduk Bandar Seri Putera,
Kajang, Selangor.

Berita Harian Online: 28 April 2009

Tiada ulasan: