Selasa, 28 April 2009

SK Sri Kelana juara


KESEMUA murid-murid dari sekolah- sekolah yang memenangi peraduan ini juga dihadiahkan beg hijau kitar semula.


BERMULA Jun hingga November 2008, hampir 25,000 murid sekolah rendah dari 25 buah sekolah seluruh negara giat mengerah tenaga untuk memelihara alam sekitar dengan mengumpul, membersihkan dan mengitar semula kotak minuman terpakai.

Mereka berusaha dan bekerjasama mengumpulkan kotak minuman untuk dikitar semula dan menyelamatkan alam sekitar daripada terus dicemari.

Hadiah kepada kesungguhan mereka bukan sahaja untuk menjaga alam sekitar tetapi juga wang tunai.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selepas lebih enam bulan dimulakan, Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Selangor diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Peraduan Kitar dan Menang Tetra Pak.

Menurut Pengetua SK Sri Kelana, Rohayah Mohamad Sarif, pondok bacaan yang diperbuat daripada kotak minuman yang dikitar semula di sekolahnya disumbangkan oleh Tetra Pak pada tahun 2007.

Katanya, sumbangan itu telah mendorong murid-muridnya untuk mengumpul dan mengitar kotak minuman walaupun tiada peraduan diadakan.

"Memenangi hadiah adalah ganjaran terhadap usaha mereka tetapi apa yang lebih memuaskan adalah murid-murid kami dapat melihat sendiri hasil daripada usaha mereka.

"Ia mendorong mereka untuk terus mengitar semula kotak-kotak minuman walaupun pertandingan telah tamat," katanya.

Dengan jumlah kutipan sebanyak 68,500 kotak minuman, SK Sri Kelana membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. Tempat kedua jatuh kepada SJK (C) Chung Hwa Wei Sin, Terengganu dengan kutipan 48,702 kotak minuman dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000.

Sementara itu, SRJK (C) Chung Shan, Perak membawa pulang RM2,000 sebagai pemenang tempat ketiga dengan kutipan 28,270 kotak minuman terpakai.


SK Sri Kelana membina pondok bacaan daripada kotak minuman yang dikitar semula.


Selain daripada hadiah wang tunai, sekolah-sekolah tersebut juga menerima komputer meja, komputer riba, pencetak laser, piala dan sijil. Kesemua murid-murid dari sekolah-sekolah yang memenangi peraduan itu juga dihadiahkan beg hijau kitar semula.

Selain sekolah, Tetra Pak juga mengadakan peraduan kitar semula di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan penduduk (RAs) dari sekitar Petaling Jaya dengan sokongan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Tempat pertama kategori NGO jatuh kepada HATI.org.my dengan jumlah kutipan 17,250 kotak minuman terpakai sementara Persatuan Pemilik dan Penduduk Damansara Jaya pula mengutip 12,750 kotak minuman terpakai.

"Hasil usaha ini amat menggalakkan. Hampir 300,000 kotak minuman terpakai dikitar semula sepanjang tempoh enam bulan," kata Terrynz Tan, Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd.

Tetra Pak memulakan peraduan Kitar dan Menang pada tahun 2006 untuk menggalakkan amalan kitar semula kotak minuman dalam kalangan pengguna. - JULIA ISMAIL

Kosmo Online: 28 April 2009

Tiada ulasan: