Selasa, 28 April 2009

Terkini: 40 pelajar sekolah menengah di Kedah diserang histeria

28/04/2009 6:43pm

ALOR SETAR 28 April — Sekolah Menengah Langgar di sini, kecoh apabila 40 pelajar perempuan di serang histeria secara berperingkat selepas majlis bacaan Yasin diadakan di sekolah itu pagi semalam.

Difahamkan 22 pelajar tingkatan satu hingga lima diserang histeria semalam, manakala 18 lagi hari ini.

Seorang pelajar, Nor Junainah Ahmad Fauzi, 13, berkata kejadian bermula apabila sebilangan pelajar mendakwa terlihat kelibat wanita berambut panjang serta bayangan hitam dalam keadaan mengerikan berlegar-legar di kawasan sekolah itu.

Pelajar yang terkena serangan histeria itu meracau-racau serta menjerit selepas mendakwa terlihat kelibat wanita yang tidak menampakkan wajah itu, katanya.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa pelajar yang ditemui di sini, melahirkan rasa bimbang jika kejadian itu berterusan kerana ia boleh menjejaskan persekolahan anak-anak mereka.

Seorang ibu, Latifah Jaafar menyarankan agar pihak sekolah segera menyelesaikan masalah berkenaan kerana keadaan itu menyebabkan pelajar takut untuk ke sekolah.

Pengarah Pelajaran Kedah Shahidan Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama megesahkan kejadian itu dan berkata majlis bacaan Yasin serta khidmat bomoh diguna untuk meyelesaikan masalah berkenaan.

“Pihak sekolah tidak memutuskan untuk memberi cuti kerana ia hanya melibatkan pelajar perempuan, bagaimana pun keputusan lain akan dibuat jika perkara ini berlarutan,” katanya.

BERNAMA: 28 April 2009

Tiada ulasan: