Jumaat, 17 April 2009

Pengetua diminta ambil pendekatan positif atasi masalah pelajar


SHAHIRUDDIN Ab. Moin (tengah) memotong pulut kuning sambil disaksikan Abdul Aziz Mat Kiram (tiga dari kiri) dan Syed Hamid Syed Mohamed (kanan) pada majlis makan malam 100 tahun Sekolah Kebangsaan Sega, Raub, Pahang, kelmarin.


RAUB 16 April - Para pengetua sekolah di sini diingatkan supaya mengambil pendekatan positif tidak menyembunyikan masalah disiplin pelajar termasuk pergaduhan dan buli kerana tindakan sedemikian jika ditutup ia boleh memberi kesan yang lebih buruk terhadap nama baik sekolah mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, tindakan menyembunyikan kes salah laku pelajar tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya akan menyebabkan perkara sama terus berulang.

Katanya, isu disiplin, buli dan pergaduhan di kalangan pelajar perlu ditangani dengan tegas tetapi dengan pendekatan berhemah.

''Kes buli di sekolah akan terbongkar juga kerana pihak yang tidak berpuas hati terutama ibu bapa pelajar akan mendedahkan isu itu kepada pihak media.

''Isu itu akan menjadi lebih besar apabila didedahkan dan akan menjejaskan reputasi dan nama baik pengetua, pentadbiran dan guru-guru sekolah berkenaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis jamuan makan malam dan perayaan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Sega, Raub, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram dan ADUN Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed.

Shahiruddin mengulas mengenai pergaduhan dan kejadian buli di kalangan pelajar senior dan murid tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Dong minggu lalu yang menimbulkan perasaan tidak puas hati ibu bapa kerana pentadbiran sekolah berkenaan dikatakan cuba menyembunyikan kejadian itu.

Shahiruddin berkata, masalah disiplin pelajar boleh diatasi jika ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sama-sama bertanggungjawab dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

Katanya, semua pihak perlu memberikan perhatian sewajarnya terhadap masalah pendidikan bagi melahirkan pelajar berkualiti yang bakal menjadi pemimpin pelapis.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Shahiruddin menyarankan budaya usahawan diterapkan di kalangan pelajar supaya mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa pelajar meningkatkan tahap komunikasi dengan mempelajari pelbagai bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

Katanya, kebolehan dan kecekapan berkomunikasi adalah aset utama sebagai kayu bagi menentukan kejayaan seseorang pelajar setelah tamat persekolahan di peringkat menengah dan universiti.

Sehubungan itu, Shahirudin turut menggesa ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mempelajari banyak bahasa terutama bahasa Inggeris kerana ia akan memudahkan anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memperoleh pekerjaan.

''Dengan mempelajari banyak bahasa ia akan menjadikan seseorang itu lebih dikenali dan mudah berurusan dalam apa juga keadaan terutama pentadbiran dan perniagaan dalam syarikat multinasional.

''Kita lihat hari ini kegagalan anak-anak Melayu mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat swasta dan multinasional kerana kelemahan berkomunikasi dan menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Utusan Malaysia Onlione: 17 April 2009

Tiada ulasan: