Isnin, 27 April 2009

Kecoh 50 pelajar diserang histeria



LEMBIK...seorang pelajar yang diserang histeria ditenteramkan
guru, semalam.

ALOR STAR: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langgar di sini, gempar apabila kira-kira 50 pelajar perempuan sekolah itu tiba-tiba diserang histeria selepas dipercayai ternampak kelibat wanita berambut panjang dalam keadaan mengerikan di kawasan sekolah itu, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, seorang daripada pelajar terbabit dikatakan meracau dan menjerit seperti terlihat sesuatu sebelum diikuti beberapa pelajar lain menyebabkan guru di sekolah itu terpaksa berbuat sesuatu termasuk membaca surah Yasin dan memanggil beberapa guru agama untuk membantu meredakan keadaan.

Kejadian membabitkan pelajar perempuan tingkatan satu hingga tiga itu dipercayai berlaku selepas majlis bacaan Yasin di sekolah itu pagi semalam yang dihadiri sebahagian pelajar lelaki dan perempuan serta guru.

Seorang daripada mangsa histeria, Nurul Atikah Ali, 13, berkata pada mulanya dia terdengar rakannya menjerit tidak jauh dari surau sekolah itu sebelum ternampak kelibat seperti seorang wanita berambut panjang berterbangan di kawasan sekolah berkenaan.

“Saya tak sedar apa yang berlaku kerana ketika itu saya ternampak pelbagai benda yang menakutkan serta kelibat seorang wanita berambut panjang dan berpakaian putih melalui kawasan sekolah ini. Saya hanya tersedar apabila beberapa guru mengajar mengucap dua kalimah syahadah,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Pelajar tingkatan satu itu berkata, kejadian terbabit amat menakutkannya dan dia bercadang bertukar ke sekolah lain jika kejadian histeria itu berulang.

Katanya, setiap hari ketika datang ke sekolah, bulu romanya meremang kerana kawasan sekolah itu dikelilingi hutan selain jalan di situ yang gelap.

Rakannya, Nurul Izzah Othman, 13, berkata badannya seakan lemah selepas tersedar daripada serangan histeria itu kerana ‘dirasuk’ dan dia tidak berdaya untuk melawan menyebabkan dia hanya menjerit.

“Sekarang, saya jadi takut dan tak berani untuk ke sekolah tetapi saya akan kuatkan semangat,” katanya.

Bapa pelajar sekolah itu, Ali Hashim, 55, berkata ini bukan kali pertama kejadian histeria berlaku di sekolah itu kerana kejadian yang sama turut berlaku minggu lalu.

Menurutnya, anak saudaranya turut menjadi mangsa histeria di sekolah itu sebelum ini terpaksa berhenti sekolah kerana trauma dengan apa yang berlaku walaupun sudah dibawa menjalani rawatan tradisional untuk memulihkan semangatnya.

myMetro: 27 April 2009

Tiada ulasan: