Rabu, 29 April 2009

Sekolah Terbilang: Transformasi sekolah

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


PELAJAR SMTT mencatat kejayaan membanggakan dalam bidang reka cipta dan robotik termasuk menjuarai Kejohanan Reka Cipta Antara Teknik tahun lalu.

SMTT fokus enam strategi capai kecemerlangan, muncul sekolah kluster terbilang menjelang 2011

DALAM tempoh hampir dua dekad penubuhannya, Sekolah Menengah Teknik Tawau (SMTT), Tawau berjaya melakukan transformasi drastik hingga mendapat pengiktirafan sekolah cemerlang di peringkat kebangsaan.

Bermula dengan status sekolah menengah vokasional pada April 1981, perkembangan memberangsangkan dicapai melayakkan ia dinaik taraf sekolah menengah teknik (SMT) pada Januari 1997 setelah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Teknikal.

Kemuncak pencapaian SMTT yang menawarkan lapan kursus aliran vokasional dan 11 teknikal itu apabila tersenarai sebagai salah sebuah sekolah kluster kumpulan pertama pada Mac 2007.

Pengetuanya, Fitriani Wahid, berkata kejayaan SMTT terpilih dalam kelompok itu berdasarkan kerjasama kumpulan yang kukuh di kalangan warga sekolah, selain tahap pencapaian akademik tinggi.

Ini terbukti, katanya, apabila sekolah menerima pengiktirafan berprestij seperti Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan (Pengurusan Sekolah) pada 2001, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik 2000, selain sekolah bertaraf enam bintang oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Ahmad Sipon.

TEKNOLOGI Maklumat dan Kursus Pengaturcaraan Komputer antara bidang kekuatan SMTT.

“Sekolah ini menitikberatkan protokol dalam setiap kegiatan dijalankan, selain mementingkan budaya kerjasama dalam kumpulan di kalangan lebih 1,000 pelajar serta 122 tenaga pengajar.

“Dari segi akademik, sekolah ini menjadi wadah kemenjadian pelajar kerana kebanyakan lepasan Penilaian Menengah Rendah yang memasuki sekolah dengan pencapaian akademik kurang memuaskan akan mencatat prestasi lebih baik daripada gred D kepada A.

“Antara pencapaian membanggakan sekolah ini ialah berjaya mengekalkan keputusan lulus 100 peratus dalam Sijil Pelajaran Malaysia selama 11 tahun berturut-turut sejak 1998,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi mengekalkan kecemerlangan itu, katanya, pengurusan sekolah menggariskan enam strategi utama untuk dilaksanakan terutama bagi mencapai visi ‘Menjadi Sekolah Kluster Terbilang Menjelang 2011’ .

Fitriani Wahid

Enam strategi itu adalah mewujudkan Perancangan Strategik Sekolah Kluster, mengukuhkan peranan Majlis Perancang Sekolah, meningkat dan mengekalkan tahap kecemerlangan akademik dari aspek kualiti dan kuantiti.

Seterusnya, meningkatkan kecemerlangan secara keseluruhan merangkumi aspek kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan pengurusan; mengadakan hubungan antarabangsa dengan sekolah luar negara serta meningkatkan kerjasama dengan universiti angkat iaitu Universiti Malaysia Sabah.

Beliau berkata, beberapa program khas turut dilaksana bagi mengekalkan suasana keharmonian sekolah menerusi usaha merapatkan hubungan warga sekolah serta pembentukan nilai disiplin dan sahsiah pelajar.

“Antara program dijalankan adalah Tender Loving Care bagi menyemai kasih sayang di kalangan warga sekolah, Student Voice Council sebagai saluran pelajar menyampaikan pendapat dan cadangan kepada pentadbir.

“Selain itu, One Stop Merit bagi menggalakkan pelajar membuat kebajikan dan diberi ganjaran dalam bentuk bahan keperluan dan kelengkapan persekolahan,” katanya.

INFO: Tujuh bidang kekuatan SMTT

  • Taekwando
  • Reka cipta
  • Robotik
  • Selam Skuba (Kadet Pertahanan Awam)
  • Cabaran F1
  • Kursus Pengaturcaraan Komputer
  • Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

    Kursus ditawarkan SMTT: Vokasional
  • Pengurusan Perniagaan
  • Elektrik
  • Elektronik
  • Automotif
  • Amalan Bengkel Mesin
  • Binaan Bangunan
  • Kimpalan Fabrikasi Logam
  • Pengaturcaraan Komputer.

    Teknikal
  • Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik
  • Pengajian Kejuruteraan Awam
  • Pengajian Kejuruteraan Mekanikal
  • Pengajian Pakaian
  • Pengurusan Makanan dan Perdagangan
  • Katering
  • Rekaan Fesyen
  • Bakeri dan Konfeksionari
  • Asuhan Kanak-Kanak
  • Seni Kecantikan.

  • Berita Harian Online: 29 April 2009

    Tiada ulasan: