Oleh Zainor Said
zaino@bharian.com.my
PERUBAHAN kepemimpinan Kementerian Pelajaran sudah dijangka berikutan kejayaan bekas Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussien memenangi kerusi Naib Presiden pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini. Kini beliau memegang portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas berkhidmat di Kementerian Pelajaran selama lima tahun.
Kementerian Pelajaran kini diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri. Beliau dibantu dengan seorang timbalan baru iaitu Datuk Dr Puad Zarkashi, di samping seorang lagi timbalan sedia ada iaitu Datuk Dr Wee Ka Siong. Mungkin ada yang tidak menyedari bahawa ketiga-tiga mereka adalah Ahli Parlimen dari Johor.
Bidang pendidikan sama ada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran mahupun Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa mendapat perhatian masyarakat kerana pendidikan adalah aset penting meningkatkan taraf hidup rakyat dan menjamin kemakmuran negara. Sebab itulah setiap kali pembentangan Bajet, kerajaan menyediakan peruntukan tertinggi untuk bidang pendidikan dan latihan, terutama bagi Kementerian Pelajaran.
Di bawah kepemimpinan baru Kementerian Pelajaran, kita harap Muhyiddin akan memberi lebih banyak tumpuan melakukan pembaharuan bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir menikmati kemudahan dan pendidikan berkualiti terutama di luar bandar. Ini sejajar dengan satu daripada enam teras utama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk merapatkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dan bandar.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin mungkin tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang pelajaran semat-mata kerana beliau tentunya mempunyai tanggungjawab lebih besar bagi menjayakan agenda nasional, termasuk di peringkat antarabangsa.
Namun sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman luas menerajui beberapa kementerian sebelum ini, termasuk menjadi Menteri Besar Johor, kita yakin Muhyiddin mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang, sama ada sebagai Menteri Pelajaran mahupun Timbalan Perdana Menteri.
Tambahan dengan disokong dua timbalannya yang memiliki kelulusan PhD, kita percaya mereka mampu membantu Muhyiddin menjayakan agenda pendidikan, sama ada yang bakal diperkenalkan atau menyambung dasar yang diperkenalkan Hishamuddin sebelum ini.
Cabaran pertama yang harus ditangani kepemimpinan baru Kementerian Pelajaran ialah isu Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang kini kajiannya dikatakan sudah sedia dibentang ke Kabinet dalam waktu terdekat.
Keputusan sama ada PPSMI diteruskan, diubah suai atau kembali kepada bahasa ibunda harus diumum segera bagi meredakan ia daripada terus menjadi polemik. Penangguhan keputusan PPSMI hanya memberi kesempatan kepada pembangkang untuk memperalatkan pihak tertentu menyuarakan bantahan demi bantahan sehingga mempolitikkan isu berkenaan.
Muhyiddin juga harus menyatakan segera pendiriannya mengenai cadangan membenarkan guru Kumpulan A membabitkan diri dalam arena politik. Cadangan itu mendapat reaksi berbeza kerana ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantah. Setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenainya dan Muhyiddin wajar mengumumkan pendiriannya secepat mungkin bagi melenyapkan teka-teki di kalangan masyarakat terutama guru.
Kementerian Pelajaran pada jangkaan awal digabungkan dengan Kementerian Pengajian Tinggi seperti yang pernah berlaku sebelum ini ternyata meleset apabila ia kekal dengan dua kementerian berasingan. Walaupun Kabinet jemaah menteri Datuk Seri Najib Razak dikecilkan berbanding dengan Kabinet Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, namun dua kementerian berkenaan tidak digabungkan, walaupun ada yang berpendapat ia berada dalam bidang sama.
Tindakan itu membuktikan kerajaan sedar bidang pendidikan kini berkembang pesat dan memerlukan kementerian khusus supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha membangunkan modal insan secara berterusan dan berkesan, sejak usia kanak-kanak hingga ke peringkat tinggi.
Kini terdapat 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan tidak kurang daripada 800,000 pelajar yang sedang menuntut di pelbagai institusi termasuk di 500 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang beroperasi secara aktif. Selain itu Kementerian Pengajian Tinggi juga harus memantau pelbagai institusi kemahiran yang menawarkan pengajian kepada lepasan sekolah tidak cemerlang dalam akademik.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen dari Johor, yang kekal sebagai Menteri Pengajian Tinggi mendapat timbalan yang baru iaitu Datuk Saifuddin Abdullah, di samping timbalannya yang lama iaitu Datuk Hou Kok Chung.
Di samping memperkasa dan meneruskan agenda pengajian tinggi yang dirangka sebelum ini menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, kita yakin Mohamed Khaled harus mempunyai idea baru untuk disuntik sesuai dengan kehendak kepemimpinan baru negara.
Pengekalannya juga memberi peluang kepada beliau meneruskan agenda memperkasakan pengajian tinggi serta rancangan yang dilaksanakan seperti program Universiti Apex bagi melonjak sekurang-kurangnya sebuah IPTA tempatan tergolong dalam ranking 10 terbaik dunia, pelaksanaan Auku selepas pindaan serta projek MyBrain15 bagi mencapai sasaran 60,000 tenaga akademik di IPTA memiliki kelulusan PhD.
Berita Harian Online: 17 April 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan