Khamis, 23 April 2009

Ibu bapa dinasihati simpan nombor telefon sekolah

KUALA LUMPUR 22 April - Berikutan beberapa kes penculikan palsu yang kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, ibu bapa disaran supaya menyimpan nombor telefon sekolah anak masing-masing.

Gesaan ini dibuat bagi membolehkan mereka terus berhubung dengan pihak sekolah sekiranya berdepan dengan situasi sedemikian.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong (gambar) berkata, tindakan itu wajar dilakukan bagi mengelak ibu bapa daripada menjadi mangsa sindiket penipuan terbabit.

"Kebanyakan kes-kes 'penculikan' yang berlaku sejak kebelakangan ini membabitkan kanak-kanak atau remaja yang masih bersekolah.

"Sekiranya ibu bapa menyimpan nombor telefon sekolah, mereka boleh terus menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan gambaran sebenar. Ia juga dapat mengelak mangsa daripada berasa cemas dan seterusnya bertindak terburu-buru," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini hari ini.

Tambah Michael, beliau telah berbincang dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong mengenai perkara itu dan kementerian berkenaan kini sedang memantau kegiatan itu secara serius.

Sejak awal tahun ini, media mendedahkan kemunculan sindiket penipuan yang merancang penculikan palsu bagi mengugut ibu bapa mangsa membayar sejumlah wang tebusan bagi pembebasan anak mereka.

Modus operandi kes culik yang dilaksanakan itu hanya bermodalkan telefon talian peribadi atau telefon awam sebagai langkah mengelak daripada dikesan.

Ibu bapa akan dihubungi kononnya anak mereka 'diculik' dan mangsa turut ditakut-takutkan dengan suara tangisan kanak-kanak.

Bimbang dengan keselamatan anak mereka, ibu bapa biasanya sukar mengawal emosi dan menurut apa sahaja kehendak penjenayah itu termasuk membayar wang tebusan.

Mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas menemui semula anak mereka dalam keadaan selamat.

Menurut Michael, dua kes terbaru dilaporkan kepada pihaknya sejak awal bulan ini tetapi mangsa tidak mengalami sebarang kerugian.

"Kedua-dua mangsa bijak dan tenang menangani situasi itu dan menyedari ia satu percubaan menipu," katanya.

Utusan Malaysia Online: 23 April 2009

Tiada ulasan: